KUALA LUMPUR - Tepukan gemuruh bergema pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap suami yang gagal membayar nafkah.
Malah, majoriti perwakilan wanita turut bangun memberi sorakan gembira ketika perkara itu diumumkan.
Ismail yang juga Naib Presiden UMNO juga sempat berseloroh bahawa tindakan itu tidak melibatkan perwakilan lelaki di persidangan itu kerana mereka melayan wanita dengan baik.
Gurauan itu mengundang tawa para perwakilan menjadikan dewan riuh seketika.
Sorakan dan tepukan juga terus bergema apabila Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 sebulan mulai 1 Mei depan di seluruh negara.
Kata Ismail Sabri, beliau mendengar perbahasan yang dibawa para perwakilan dan keluhan rakyat.
"Kos sara hidup semakin meningkat. Ini akan menekan golongan B40.
"Justeru itu, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 sebulan," ujarnya.