Ganja: Banyak mudarat berbanding manfaat

Iklan
Dr Suhazeli Abdullah

SHAH ALAM - Banyak mudarat berbanding manfaat, demikian tegas Pakar Perubatan, Dr Suhazeli Abdullah mengenai isu berkaitan cadangan penanaman ganja di Selangor.

Menyifatkan ia sebagai satu langkah yang tidak berbaloi sekali gus mengakibatkan kerosakan negara.

Iklan
Iklan

Dr Suhazeli berkata, terdapat sedikit manfaat perubatan tetapi tidak berbaloi jika kerajaan ingin menanam ganja hanya kerana bermotif pendapatan.

"Akta Racun 1952 masih valid kerana bukti saintifik terkini pun masih tidak boleh mendakwa ganja dalam apa jua bentuk sebagai ubat.

Iklan

"Amat menakutkan jika dilihat kajian mendapati ganja boleh menyebabkan penyakit gila," katanya.

Katanya, jika benar terdapat bukti seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, negara kita mempunyai badan berautoriti seperti National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA).

Iklan

"Boleh bawa hujahan tuntutan perubatan itu kepada NPRA sebelum lulus digunakan sebagai ubat, jika hanya testimoni atas diri sendiri, elok dengar ucapan Datuk Dr Musa Nordin dalam satu wawancara TV yang menyebut"Dalam hierarki ilmu, paling rendah adalah testimoni”.

"Ganja tidak lebih dan tidak kurang tarafnya dengan daun rama-rama atau durian belanda dalam dakwaan merawat kanser, kajian-kajian setakat ini kebanyakannya hanya atas piring pateri makmal dan tikus dan tidak pun melepasi fasa tiga dan empat kajian perubatan," katanya.

Menurutnya, alasan menanam ganja untuk kajian adalah juga tidak munasabah kerana kajian perubatan boleh dilakukan oleh mana-mana pengkaji dalam negara.

"Ianya dengan syarat lulus etika kajian, setelah lulus etika, ganja boleh diperolehi dari negara jiran melalui prosedur tertentu," katanya.

Tegasnya, perkara yang amat membimbangkan kita adalah kecenderungan penyalahgunaan dadah tinggi.

"Ini kerana sistem penguatkuasaan negara masih belum mampu sepenuhnya, penguatkuasaan dadah narkotik seperti morfin, heroin, syabu, pil kuda pun masih belum berjaya sepenuhnya dan bebanan pihak berkuasa untuk penangkapan dan pemulihan makin bertambah.

"Sepatutnya KKM lebih bersungguh menyuarakan isu ini jika ianya benar-benar banyak manfaat dalam perubatan.

"Dalam soal ini, saya menyeru agar tiada penghalalan ganja dalam negara kita malah menutup pintu mudarat adalah lebih penting dari mendapatkan sedikit laba keuntungan jualan," katanya.

Dalam pada itu katanya, sesetengah pihak memperjuangkan ganja sebagai entiti perubatan dengan dalil bahawa ganja tersebut terdapat sedikit komponen kebaikan dari sudut perubatan.

"Tetapi perlu kita ambil pengajaran bersama bahawa kesan yang serius boleh berlaku jika negara kita menghalalkan penanaman, pemprosesan dan penjualan ganja.

"Kita boleh melihat sendiri kesan negatif yang besar kepada negara-negara yang telah menghalalkan ganja perubatan tersebut," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor dicadang supaya dapat mempertimbangkan melaksanakan penanaman ganja bagi tujuan perubatan di negeri ini.

Cadangan tersebut dikeluarkan oleh ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor kelmarin.