SHAH ALAM - Ahli politik khususnya wakil rakyat perlu berterus-terang kepada rakyat dalam memastikan masa hadapan Malaysia kalis cabaran.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, tugas seorang ahli politik itu merupakan satu ibadah didorong oleh kompas moral yang jelas.
"Tanggungjawab dan amanah selaku wakil rakyat atau calon merupakan sesuatu yang besar penghormatannya.
"Jadi sekarang ini, pada saya, kalau kita tidak boleh belajar sama-sama, kita rapatkan saf kerana nak menang pun kerana apa.
"Kita pun ada kehidupan sendiri, keluarga, jadi nak menang itu untuk membantu suba menyelesaikan sosio-ekonomi rakyat,” katanya dalam sesi ‘Terus Terang Edisi Terpaling’ menerusi Facebook pada Sabtu.
Program tersebut turut menampilkan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, manakala Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Nor selaku moderator.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, dunia itu lebih daripada pemilihan parti kerana ia hanya sekadar wadah untuk membantu rakyat.
"Jadi kita perlu ambil peluang ini bila ada bakat. Kami (Nurul Izzah dan Rafizi) mungkin dapat tambah satu atau dua peratus tetapi sekurang-kurangnya usaha itu ada.
"Kita hargai pengorbanan pemimpin dan apa yang dilakukannya. Kita kembalilah kepada kompas moral, keinginan untuk melakukan sebaik mungkin,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, perlaksanaan khemah besar berkemungkinan hanya untuk memastikan pembangkang kekal bersama.
Beliau berkata, sebaliknya, pembangkang sebenar adalah mereka yang tidak mudah untuk dibuai dengan bisikan atau tawaran daripada parti lain.
"Kamu sendiri yang perlu rasa ikhlas dan mahu menjadi sebahagian daripada pembangkang. Bila kita bercakap nak berunding bagaimana kita nak pastikan parti berjaya.
"Tetapi kalau dari awal tidak ada kemahuan tersebut tidak boleh memaksa. Pada kami itu satu garis batasan, boleh berunding tetapi pada masa sama idealisme, hala tuju dan kemahuan kita.
"Adakah mereka mahukan jawatan tertentu atau kita mahukan perubahan. Itu perkara yang sukar,” katanya.