PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel memuji karakter para pemain The Blues ketika meneruskan kemaraan pada saingan Piala FA di sebalik pelbagai masalah melanda kelab tersebut pada ketika ini.
Jelas Tuchel, para pemain kelab London itu tetap fokus untuk memenangi perlawanan, selain prestasi pada tahap klinikal ketika mengatasi Middlesbrough di Stadium Riverside.
"Kami sangat fokus dan sangat serius, selain menunjukkan kualiti di saat-saat amat memerlukan pada perlawanan ini.
"Usaha gigih dalam kalangan pemain juga konsisten apabila tidak leka daripada membiarkan lawan masuk ke kawasan gol selepas dua gol awal. Ia adalah kemenangan yang wajar.
"Ya, tiada apa yang boleh kami lakukan bagi mengubah keadaan yang melanda Chelsea. Kami menerima bahawa situasi bukan di tangan kami, namun apa yang boleh diberikan setiap pemain adalah persembahan terbaik dan kekal fokus di padang," katanya
Chelsea mengetepikan cabaran Middlesbrough 2-0 dalam aksi kelompok lapan terbaik saingan Piala FA di Stadium Riverside bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Gol separuh masa pertama Romelu Lukaku (15') dan Hakim Ziyech (31') menyingkirkan cabaran kelab Liga Kejuaraan tersebut yang sebelum ini mengejutkan Manchester United dan Tottenham Hotspur pada pusingan sebelumnya.
Chelsea, yang menjadi sasaran beberapa bidaan pembelian, beroperasi di bawah lesen khas daripada kerajaan Britain selepas pemilik Rusia, Roman Abramovich dikenakan sekatan berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Beberapa ratus penyokong Chelsea berada di stadium - akibat daripada sekatan terhadap penjualan tiket kelab London itu, namun sekurang-kurangnya boleh meraikan kemaraan ke separuh akhir buat kali kelima dalam enam musim.
Untuk rekod sejak Abramovich mengumumkan juara Eropah itu untuk dijual pada 2 Mac selepas 19 tahun sarat trofi pelbagai kejuaraan, Chelsea memenangi semua enam perlawanan terakhir.