KUALA TERENGGANU - Waris rumah pusaka di Kampung Tanjung, mengemukakan saman sivil terhadap kerajaan negeri atas tindakan meroboh kediaman itu pada 21 November 2018.
Peguam plaintif, Azzan Aznan Abdul Rahim berkata, saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Selasa lalu terhadap Pentadbir Tanah, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu dan kerajaan negeri yang dinamakan sebagai defendan.
Azzan Aznan berkata, defendan dikehendaki membayar ganti rugi atas tindakan meroboh seunit rumah warisan tradisional berusia 77 tahun secara tidak salah/curang dan tidak mengikut peruntukan undang-undang.
"Tuntutan dikemukakan terhadap ganti rugi am bagi kecuaian dan pencerobohan harta berjumlah RM30 juta.
"Selain itu, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan akan ditaksirkan manakala ganti rugi khas, faedah dan kos dianggarkan berjumlah RM33,000," katanya ketika ditemui di tapak rumah warisan itu, hari ini.
Antara tuntutan lain dikemukakan ialah defendan dikehendaki mewartakan dan mengeluarkan surat ikatan hakmilik hartanah di Lot 2795 (sebelum ini dikenali sebagai Lot 795) di Jalan Tanjung, di sini di atas nama Wan Yusof Abdul Kader.
Katanya, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 April depan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN Rumah pusaka Kampung Tanjung akhirnya diroboh