SEREMBAN - Seramai 40 pemandu lori di Negeri Sembilan yang berulang alik ke Singapura berharap kerajaan dapat membantu menampung kos pemeriksaan saringan Covid-19 RTK-Antigen di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura.
Wakil pemandu lori, A Selamuthu, 59, berkata, ini kerana sebelum ini kos berkenaan ditanggung oleh kerajaan Singapura.
Namun katanya, berkuat kuasa 24 Mac ini mereka difahamkan semua pemandu lori yang masuk ke Singapura perlu melakukan ujian sendiri dan terpakai hanya untuk tempoh dua hari.
"Dah lebih dua tahun kerajaan Singapura menanggung kos saringan itu, apalah salahnya jika kerajaan kita pula berbuat demikian dengan sediakan pusat pemeriksaan saringan percuma di Tambak Johor dan LinKedua.
"Dalam tempoh sebulan biasanya 10 kali saya akan ke Singapura hantar barang dan kos perlu ditanggung untuk buat RTK sebanyak RM600. Itu belum lagi campur dengan kelindan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, prosedur baharu itu bukan sahaja membebankan mereka tetapi juga mengganggu kelancaran penghantaran barangan ke negara berkenaan.
Pada September tahun lalu, dia terpaksa berpatah balik sebanyak empat kali selepas ujian saringan dilakukan mendapati dirinya dan kelindan positif Covid-19.
"Keadaan itu menyusahkan kami dan membuang masa selain perlu pula tanggung kos perjalanan lebih kurang RM1,000.
"Bila didapati positif, kami hanya dibenarkan masuk semula ke Singapura selepas 21 hari yang mana tempoh itu sangat lama," katanya.
Pemilik syarikat lori K Manoran, 57, pula berkata, jika sebelum ini mereka dibenarkan tidur di Singapura, tetapi sekarang perlu keluar dalam tempoh 24 jam.
Sehubungan itu dia sangat berharap kerajaan dapat membantu memudahkan pelaksanaan prosedur baharu itu.
"Kalau bisnes kami ok, kami tiada masalah untuk tanggung kos ujian saringan itu, tapi sekarang ia tak berapa baik sejak pandemik Covid-19.
"Lagipun kita tak tahu sampai bila pandemik ini akan berakhir dan setakat ini kita tak dengar sebarang kenyataan rasmi dari kerajaan Malaysia berhubung isu ini," katanya.