LTdL kembali beraksi Jun ini

Iklan
Ahmad Faizal menyempurnakan gimik perasmian pengenalan Laluan LTdL 2022 di Padang Awam Klebang Restu di sini pada Ahad.

IPOH - [DIKEMASKINI] Saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara, Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali memeriahkan laluan, Jun ini selepas dibatalkan tahun lepas berikutan wabak Covid-19.

Saingan edisi ke-26 berstatus UCI ProSeries itu dijadualkan bermula 11 hingga 18 Jun meliputi laluan sejauh 1,183 kilometer dan membabitkan lapan peringkat merentasi laluan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Pulau Langkawi.

Iklan
Iklan

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebanyak 22 pasukan dengan 18 daripadanya pasukan negara luar telah menyatakan kesediaan untuk menyertai perlumbaan kali ini.

"Setakat ini lima pasukan telah benar-benar mendaftar dan sasaran kita selewat-lewatnya sebulan untuk pasukan-pasukan lain mengesahkan pendaftaran mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengenalan Laluan LTdL 2022 di Padang Awam Klebang Restu di sini pada Ahad.

Iklan

Ahmad Faizal berkata, berbeza saingan 2020 yang bermula di Kuching, Sarawak, LTdL edisi kali ini kembali berpusat di Semenanjung dan tumpuan pantai barat.

Katanya, peserta akan bermula di Kuala Lumpur, menyusuri laluan ke selatan di Kuala Pilah sebelum merentasi Kuala Klawang ke Raub.

Iklan

"Laluan paling jauh bakal dihadapi peserta adalah dari Kuala Selangor ke Tambun sejauh 190 kilometer.

"Peserta turut diuji dengan pendakian getir ke Genting Highlands yang hadir seawal peringkat ke-3 perlumbaan dari Putrajaya serta dari pekan Kuah ke Gunung Raya yang bakal menjadi tarikan sebelum penamat dengan laluan loop di Langkawi," katanya.

Beliau berharap, penganjuran LTdL ini dapat menyemarakkan semula minat orang ramai terhadap sukan berbasikal dan mampu meletakkan kembali nama negara di peta dunia sebagai penganjur sukan berprestij.

Katanya, paling penting, LTdL akan membuka mata mengenai keadaan sebenar dalam negara terutamanya berkaitan tahap keselamatan dan langkah ketat yang diambil kerajaan untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

"Dari aspek peserta, kita memang sudah menetapkan semua peserta wajib mendapatkan vaksinasi, jika tidak pastilah mereka bermasalah untuk masuk ke negara kita.

"Terima kasih kepada kementerian, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan penganjur acara, Human Voyage yang dapat mencari jalan dan titik pertemuan agar penganjuran LTdL dapat diteruskan tahun ini," katanya.

Bermula pada 1996, LTdL menjadi gelanggang pilihan pasukan dan pelumba profesional termasuk negara kuasa besar sukan berbasikal seperti Itali, Perancis, Sepanyol, Jerman dan Britain.

Nama-nama besar seperti bekas juara Tour de France, Egan Bernal; lagenda Itali, Andrea Tafi; bekas juara dunia, Paola Bettani, Alessandro Pettachi, Floyd Landis, Chris Horner, Julio Perez, Rinaldo Nocentini, dan Jan Koerts antara yang pernah mewarnai edisi LTdL sebelum ini.


JADUAL PERLUMBAAN


Peringkat 1: Kuala Lumpur-Kuala Pilah (160km)

Peringkat 2: Kuala Klawang-Raub (170km)

Peringkat 3: Putrajaya-Genting Highlands (133km)

Peringkat 4: Kuala Selangor-Tambun (190km)

Peringkat 5: Kuala Kangsar-Kulim (167km)

Peringkat 6: George Town-Alor Setar (148km)

Peringkat 7: Kuah-Gunung Raya (105km)

Peringkat 8: Kuah, Langkawi Loop (110km)