SHAH ALAM - Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya mengajak seluruh umat Islam di negara ini bersama-sama menunaikan solat jenazah ghaib ke atas Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17,selepas solat Jumaat, esok.
Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, solat yang telah diatur di semua masjid seluruh negara itu sebagai satu sokongan kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tembakan pengganas di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas.
"Satu berita sedih yang amat pilu telah diterima lewat malam semalam, apabila kerajaan New Zealand telah mengesahkan salah seorang dari 50 mangsa tembakan rambang di Christchurc,h New Zealand merupakan warga Malaysia yang dilaporkan hilang selama ini.
"Marilah kita bersama-sama berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman, dihujani rahmat dan dikurniakan ganjaran syahid.
"Semoga doa-doa kita juga akan memberikan kekuatan buat seluruh keluarga Allahyarham,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Wisma Putra sahkan Haziq meninggal dunia
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru seluruh rakyat di negara ini terutamanya umat Islam agar kekal tenang dan menyerahkan kebijaksanaan kerajaan New Zealand untuk merungkai masalah yang berlaku di negara itu.
Menerusi satu kenyataan Kementerian Luar pagi ini mengesahkan Muhammad Haziq merupakan antara 50 mangsa yang terkorban dalam tembakan rambang di Masjid Al Noor dan Linwood, Jumaat lalu.
Manakala bapanya, Mohd Tarmizi Shuib yang turut tercedera dalam serangan itu sedang dirawat di Hospital Christchurch.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof meminta semua masjid di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat, esok.
Katanya, ia sejajar dengan berita amat mendukacitakan yang diterima mengenai pemergian Allahyarham Muhammad Haziq.
Dalam kejadian pada minggu lalu itu seorang pengganas warga Australia melepaskan tembakan rambang ke arah umat Islam yang berada di Masjid al-Noor dan Pusat Islam Linwood, menyebabkan 50 terbunuh dan puluhan yang lain cedera.