KOTA BHARU - Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini kembali beroperasi sepenuhnya apabila penggunaannya kini hampir mencecah 100 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penggunaan penuh LTSIP itu dilihat kembali normal sebagaimana sebelum pandemik Covid-19.
Menurutnya, situasi itu secara tidak langsung merancakkan semula pertumbuhan ekonomi Kelantan.
"Pemulihan ini cukup pantas dan sudah menyamai sebelum Covid-19 melanda.
"Hal ini kerana LTSIP mempunyai beberapa destinasi seperti Kuala Lumpur; Subang, Kuching, Kota Kinabalu, Johor dan Pulau Pinang serta Langkawi," katanya selepas mendengar taklimat berkaitan perkembangan terkini Projek LTSIP Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Mustapa dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail turun padang melihat perkembangan terkini projek tersebut.
Menurutnya, situasi itu menjadi petanda yang baik untuk projek pembesaran LTSIP siap dengan secepat mungkin.
"Projek ini cukup penting buat rakyat Kelantan kerana ia akan menjadi pemangkin ekonomi pada masa hadapan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Jeli itu berkata, projek menaik taraf dan pembesaran itu mengalami sedikit kelewatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekurangan tenaga kerja.
"Kekurangan tenaga kerja bukan sahaja di Kelantan, tempat-tempat lain turut terkesan dengan situasi tersebut.
"Pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia sudah mengemukakan permohonan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja asing bagi memastikan semua projek berjalan lancar," katanya.
Menurutnya, walaupun lewat selama 83 hari, namun pihaknya optimis projek itu dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada April 2024.