KPWKM cuba laksana beku akaun suami tahun ini: Rina

Iklan
Rina

PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang lanjut dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk melaksanakan tindakan membekukan akaun bekas suami yang tidak membayar nafkah.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyambut baik pengumuman itu berkata, KPWKM akan cuba melaksanakan langkah itu pada tahun ini berdasarkan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan maklumat KPWKM, ramai bekas suami yang tidak membayar nafkah kepada bekas isteri. Jadi melalui pengumuman ini mereka yang berhak akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi di Kota Damansara di sini pada Ahad.

Beliau berkata, bekas isteri yang mendapati nafkah mereka tidak dibayar boleh mengadu di Talian Kasih 15999 atau platform KPWKM yang lain.

Iklan

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 mengumumkan akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Perdana Menteri berkata, perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai pembelaan terhadap golongan wanita termasuk kes mahkamah yang dimenangi kaum hawa dalam kes tuntutan nafkah.

Iklan

Selain itu, Ismail Sabri berkata, isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah (empat bulan 10 hari) dan majikan tidak boleh memaksa mereka bekerja di pejabat sebagai menghormati keadaan mereka sehingga tamat idah.

Mengulas mengenai kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah bagi isteri yang kematian suami, Rina berkata, kelonggaran itu disifatkan sebagai satu perkara yang baik dan golongan wanita harus menyambutnya.

"Wanita yang baru kehilangan suami dan masih dalam idah, mempunyai banyak urusan rumah tangga, anak serta keluarga yang perlu diselesaikan.

"Pandemik Covid-19 telah membuktikan kita boleh bekerja dari rumah. Kelonggaran yang diberikan ini merupakan satu pengumuman yang baik dan harus disambut oleh golongan wanita,” katanya.

Mengenai penjenamaan semula wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi Kota Damansara, Rina berkata, beliau optimis pembaharuan itu menjadi platform kepada perkhidmatan rawatan kesihatan dengan kemudahan infrastruktur moden dan terbaik bagi ibu dan anak. - Bernama