SHAH ALAM - Sebuah titian nelayan di Kampung Keniogan, Beluran, Sabah dengan kos keseluruhan bernilai RM1 juta berjaya disiapkan pada 13 Mac lalu bagi menggantikan titian lama yang sudah usang.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pembinaan infrastruktur tersebut akan memberikan keselesaan kepada penduduk di Kampung Keniogan khususnya golongan nelayan memandangkan keadaan titian lama yang usang tidak lagi sesuai untuk digunakan.
"MAFI akan terus melihat keperluan kemudahan asas dan infrastruktur lain yang diperlukan oleh kampung nelayan seluruh negara dan mengangkat kepada perhatian Kementerian Kewangan untuk permohonan dana tambahan bagi memastikan semua inisiatif dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dapat diteruskan.
"Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan,” katanya turut merasmikan titian nelayan itu pada Ahad.
Bagi membangunkan infrastruktur jeti sedia ada, LKIM memaklumkan usaha membaik pulih turut dilakukan di tiga lokasi lain iaitu di Jeti Kampung Muanad II, Jeti Kampung Seri Menanti dan Jeti Kampung Keramat.
Menurut kenyataan beliau, 18 lagi jeti dan titian di sekitar kampung-kampung nelayan di Beluran sedang dalam perancangan LKIM untuk dibaik pulih, dinaik taraf serta bina baharu yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik.
Setakat ini, LKIM membina sebanyak 46 buah kompleks pendaratan ikan bagi membantu nelayan mendaratkan dan memasarkan hasil tangkapan ikan.
Agensi itu pada masa sama juga sedang melakukan kajian kesesuaian tapak bagi membina sebuah kompleks pendaratan ikan moden di tapak tanah LKIM di Sandakan.
Dalam pada itu, Ronald pada Ahad turut menjayakan Program Jelajah Nelayan Beluran dengan meninjau sebahagian daripada 200 rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di daerah tersebut yang telah dan sedang dibaik pulih LKIM dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.
Seramai 582 nelayan aktif di kawasan berkenaan turut menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dengan kadar bayaran RM300 sebulan.
Dalam majlis sama, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 130 orang murid Sekolah Kebangsaan Keniogan yang telah disumbangkan oleh Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dengan peruntukan sebanyak RM6,500.