ALOR SETAR - Sokongan rakyat terhadap kerajaan PH didapati menurun selepas PRU14, disebabkan oleh perkembangan semasa dalam negara seperti kenaikan harga barang, harga komoditi tidak stabil, ketidakpuasan hati rakyat serta harapan yang tidak tertunai, selain kebebasan media.
Pengarah Eksekutif yang juga Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kajian yang dilakukan itu mendapati rakyat mengharapkan sesuatu yang lebih baik setelah berlaku perubahan tampuk pemerintahan negara.
Menurutnya, ia bukan perkara luar biasa kerana perubahan kerajaan di mana-mana negara sekalipun menunjukkan pola yang sama.
"Rakyat nyatakan kegusaran terhadap isu kehidupan yang berkait rapat dengan mereka, namun kebanyakan kajian menunjukkan hanya dalam penggal pertama pemerintahan populariti merosot, dan kembali meningkat dalam penggal kedua,” katanya, pada sidang media, selepas Bengkel Penyelidik Efektif DUN Kedah, dirasmikan Speaker DUN Kedah, Datuk Ahmad Kasim.
Mohammad Redzuan berkata, penurunan sokongan itu berlaku atas dasar naluri manusia yang mahukan perubahan drastik dalam tempoh singkat.
"Dalam tempoh penggal pertama, rakyat masih emosi apabila lakukan tsunami PRU14, mereka masih emosi sehingga kini dengan harapan tinggi mahukan perubahan drastik, sedangkan ia suatu proses,” katanya.
Menurutnya, ketidakpuasan hati rakyat mula berlaku apabila apa yang dikehendaki menerusi manifesto dan janji PRU14 belum ditunaikan.
"Bagaimana mahu selesaikan masalah berpanjangan selama 60 tahun hanya dalam tempoh sembilan bulan? Ia perlukan masa namun naluri manusia yang mahu segera dilakukan,” katanya.
Mohammad Redzuan berkata, kerajaan baharu PH juga telah memberi kebebasan media seluasnya sehingga media membentuk pemikiran bahawa terdapat harapan rakyat belum ditunaikan.