Pengusaha bas sekolah mohon pemeriksaan Puspakom setahun sekali

Iklan
Gambar hiasan

SEREMBAN - Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) meminta kerajaan mempertimbangkan supaya pemeriksaan bas sekolah di pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom) dilaksanakan setahun sekali.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata, ia bagi memudahkan pengusaha bas sekolah menghadirkan diri bagi pemeriksaan Puspakom memandangkan sistem tempahan dalam talian yang sedia ada memerlukan janji temu dan agak merumitkan.

Iklan
Iklan

"Dahulu bas sekolah boleh potong giliran menunggu dan buat pemeriksaan sebab nak ambil pelajar sekolah. Sistem yang diubah Puspakom sekarang ini dilihat menyusahkan pengusaha bas, ini kerana sistem tempahan janji temu atas talian ini kadang kala terhad.

"Jadi apabila kenderaan masuk pemeriksaan, gagal dan keluar, mereka harus menunggu bagi kekosongan tempahan semula untuk pemeriksaan...ini sekali gus menyebabkan ramai pengusaha sudah putus asa kerana terlalu banyak masalah dihadapi bagi meneruskan perkhidmatan bas sekolah," katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) Ke-20 di sini pada Ahad.

Iklan

Justeru, Mohd Rofik yang juga Pengerusi PPBSNS berkata, satu penyelesaian drastik perlu dilakukan pihak berkaitan bagi menangani perkara itu sekali gus membantu mengurangkan beban pemandu bas yang bergantung kepada pekerjaan tersebut bagi meneruskan kehidupan.

Dalam pada itu, Mohd Rofik turut meminta kerajaan membenarkan permit bas sekolah diperbaharui dalam tempoh lima tahun seperti yang dilaksanakan sebelum ini berbanding maksimum hanya dua tahun pada masa ini.

Menurutnya, ia bagi melancarkan urusan pemandu bas lebih-lebih sesi persekolahan sudah dibuka dan negara juga akan melalui peralihan fasa ke endemik kelak dengan semua sektor ekonomi sudah mula dilaksanakan tanpa sekatan.

Iklan

Beliau turut berharap sesi persekolahan yang bermula esok tidak akan ditangguhkan lagi supaya pengusaha bas sekolah boleh 'bernafas’ semula demi kelangsungan hidup.

"Pengusaha bas sekarang ini dalam dilema sama ada sekolah akan terus dibuka atau kembali kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), kalau PdPR dijalankan, ia akan menjadi masalah kepada kami kerana tambang bas dibayar tidak penuh,” katanya.- Bernama