IPOH - Warga emas yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Puncak Jelapang di sini berjaya ditemukan pada Ahad selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat digerakkan.
Mangsa, Lau Sam, 84, ditemui pasukan malim gunung sekitar jam 2.30 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terdampar dalam sungai pada ketinggian 550 meter.
Komander Operasi Bomba, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, penemuan oleh dua malim gunung yang membantu operasi mencari itu adalah berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang dikongsi pihak bomba.
"Penemuan mangsa ini telah dimaklumkan kepada anggota bomba.
"Berdasarkan maklumat itu, satu pasukan dianggotai sembilan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya telah digerakkan untuk membawa mangsa turun," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Menurutnya, jarak perjalanan yang jauh selain laluan trek yang curam dan sempit mungkin menyebabkan operasi membawa mangsa turun mengambil sedikit masa.
"Kita jangkakan operasi membawa mangsa turun ini mengambil masa tujuh jam," katanya.
Penemuan mangsa telah dimaklumkan kepada ahli keluarga.