LKTN, KMDI kerjasama bangun projek penanaman kenaf

Iklan
Idris (tiga dari kanan) dan Azjuriyahti bertukar dokumen perjanjian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara LKTN dan KMDI di sini pada Ahad.

KUANTAN - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menjalinkan kerjasama bersama Kumpulan Maju Desa Industri Holding Sdn Bhd (KMDI) dalam membangunkan projek penanaman dan pemprosesan kenaf di negeri ini.

Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh berkata, kerjasama itu melibatkan penanaman dan pemprosesan kenaf bagi penghasilan bahan binaan sistem binaan berindustri (IBS) untuk projek perumahan yang akan dilaksanakan KMDI.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai permulaan, KMDI akan mengusahakan pembangunan ladang kluster kenaf atas tanah seluas 10.1 hektar milik LKTN di Tanjung Putus di sini.

"Projek ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan penanamannya bukan melibatkan kawasan baharu tetapi telah ada tanaman kenaf sedia ada di situ.

Iklan

"KMDI bukan hanya membangunkan kenaf di peringkat hiliran tetapi juga telah mengorak langkah bersama LKTN dalam projek penanaman dan pemprosesan kenaf bagi menghasilkan produk bahan pembinaan berasaskan komoditi itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoA) antara LKTN dan KMDI di sini pada Ahad.

Iklan

Idris berkata, secara keseluruhannya, terdapat hampir 600 hektar kawasan penanaman kenaf di Pahang khususnya di Merchong, Pekan.

"Hasil pengeluaran kenaf di negeri kira-kira 70 peratus daripada pengeluaran kenaf negara.

"LKTN sedia untuk meluaskan kawasan penanaman komoditi itu berdasarkan jaminan pasaran melibatkan kawasan sedia ada dengan syarikat-syarikat besar termasuk KMDI," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini kebanyakan penanaman dilaksanakan secara kebun kecil namun berdasarkan permintaan dan jaminan pasaran, LKTN bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat besar.

"KMDI mencadangkan tanah 700 ekar di Pekan untuk keperluan bekalan mereka dan LKTN akan memberi sokongan untuk perolehan tanah tersebut," katanya.

Tambah beliau, penggunaan bahan binaan gentian semula jadi daripada kenaf yang berkualiti tinggi menjadi pilihan KMDI kerana ia mampu menjimatkan kos, tenaga kerja dan mempercepatkan masa pembinaan.

"Selaras dengan usaha meningkatkan kebolehpasaran produk dan penerokaan pasaran baharu kenaf bagi industri hiliran, LKTN akan melaksanakan usaha berterusan agar produk berasaskan komoditi yang mesra alam itu digunakan dengan lebih meluas dalam sektor pembinaan dan pembuatan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KMDI, Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, KMDI mengorak langkah ke hadapan dalam industri pembuatan IBS berasaskan kenaf bagi keperluan projek perumahan generasi baharu Felda di Pahang.

Menurutnya, KMDI tampil bekerjasama bersama LKTN dalam projek penanaman, penghasilan bahan asas daripada kenaf dan pembuatan dinding IBS untuk projek perumahan itu dan projek-projek akan datang.

"Projek perumahan generasi baharu Felda ini akan menjadi perintis kepada penggunaan bahan binaan IBS berasaskan kenaf.

"Selain itu, melalui kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan selain membantu meningkatkan ekonomi pekebun kecil kenaf sedia ada di negeri ini," katanya.