'Perempuan Itu' tidak ditayang jika produksi gagal beri laporan bertulis

Iklan
Annuar (kanan) menyampaikan bantuan 'Back To School' kepada pelajar tingkatan enam di Dewan Tun Ghaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Kota Bharu, pada Ahad.

KOTA BHARU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berkemungkinan tidak membenarkan drama berjudul 'Perempuan Itu' ditayangkan di televisyen sekiranya pihak produksi gagal memberikan laporan bertulis yang munasabah berkaitan kontroversi adegan 'panas' melibatkan lakonan Zul Ariffin bersama Siti Hariesa.

Menteri KOMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah meminta produksi berkenaan mengemukakan laporan bertulis berhubung perkara tersebut.

Iklan
Iklan

"Jika laporan (bertulis) itu tidak memuaskan, kita (K-KOMM) tidak akan membenarkan tayangan tersebut. Apa lagi hendak siarkan dalam bulan Ramadan.

"Semua stesen televisyen mesti menghormati bulan Ramadan. Kandungan-kandungan yang tidak bersesuaian tidak harus ada sama sekali," katanya selepas diminta mengulas mengenai kontroversi itu membabitkan lakonan Zul Ariffin bersama Siti Hariesa di sini, pada Ahad.

Iklan

Menurut Annuar pihak berkenaan diberikan masa secukupnya untuk menyediakan laporan itu.

Beliau berkata, pihak berkenaan perlu membuat pertimbangan seimbang sama ada bagi tujuan popular atau komersial dengan tanggungjawab kepada tatasusila bangsa.

Iklan

Tegas Annuar, perkara tersebut tiada kompromi kerana K-KOMM tidak mahu televisyen menjadi punca keruntuhan akhlak dalam kalangan masyarakat.

"Sebaik sahaja mendapat maklumat berkaitan perkara itu, saya terus menghubungi K-KOMM dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk segera menyemak apa sebenarnya yang berlaku.

"Hal ini kerana di bawah peraturan sekarang, kerajaan mempeturunkan kuasa penapisan isi kandungan drama di peringkat stesen-stesen televisyen untuk membuat pengawalan sendiri," katanya.

Menurutnya, namun stesen televisyen perlu mempunyai tanggungjawab dalam menjaga garis panduan tertentu terutama yang menyentuh hal agama, budaya, adat resam dan sebagainya.

"Tidak perlu tunggu kementerian tegur. Kena faham sendiri batas-batas, kalau adegan itu rakyat biasa terperanjat melihatnya, ia sangat tidak sesuai.

"Takkan kita di stesen televisyen hilang pedoman. Jadi, saya beri amaran keras kepada semua stesen televisyen yang dilesenkan oleh SKMM jika langgar garis panduan saya ambil tindakan," katanya.

Pada Sabtu, menerusi perkongsian di Instagram, pelakon berusia 35 tahun itu dilihat mendukung seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik, Siti Hariesa dan aksi mereka dianggap keterlaluan serta tidak sesuai untuk ditayangkan secara umum.

Sebelum itu Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyampaikan bantuan 'Back To School' kepada pelajar tingkatan enam di Dewan Tun Ghaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini.