Warisan sokong kerusi Parlimen Sabah, Sarawak ditambah

Iklan
Mohd Shafie. - Foto Bernama

TAWAU - Parti Warisan (Warisan) menyokong agar jumlah kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak ditambah menjadi satu pertiga atau lebih 70 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkata, perkara itu selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963, dan ia akan dibangkitkan pada persidangan DUN Sabah yang bermula esok (Isnin).

Iklan
Iklan

"Pada 1963 terdapat 159 kerusi parlimen dengan satu pertiga kerusi itu diwakili North Borneo (Sabah), Sarawak serta Singapura, ini termaktub dalam ‘Inter-Governmental Committee Report’, namun apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, sepatutnya kerusi dimiliki Singapura diberi kepada Sabah dan Sarawak.

"Hari ini ada 222 (kerusi) parlimen, kalau dikira Sabah ada 25 (kerusi) dan Sarawak, 31 (kerusi), jadi semua 56 ( kerusi parlimen), kalau dikira daripada 222 itu, jumlah 56 kerusi untuk Sabah dan Sarawak tidak sampai pun satu pertiga,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 di sini, pada Ahad.

Iklan

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang mahukan DUN Sabah dan Sarawak membahaskan usul penambahan kerusi parlimen itu sebelum perkara itu dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, tambahan kerusi itu, dapat memberi keseimbangan suara dari Sabah dan Sarawak, yang sepatutnya didengari.

Iklan

Di samping itu katanya sokongan parti itu terhadap pindaan Akta Malaysia 1963, tidak berkaitan dengan ideologi politik sebaliknya adalah untuk hak dan suara rakyat Malaysia dari Sabah serta Sarawak. - Bernama