KIEV - Ribuan penduduk di Mariupol di wilayah Donetsk telah dipindahkan secara paksa ke Rusia ketika hujan peluru semakin ganas dilancarkan ke atas bandar yang dikepung sejak lebih dua minggu lalu.
"Kumpulan penduduk dari daerah Livoberezhniy yang berlindung di kelab sukan dideportasi ke wilayah Rusia tanpa kerelaan hati mereka,” ujar Majlis Perbandaran tersebut menerusi saluran Telegram pada lewat Sabtu.
Menurutnya, pasport Ukraine milik kumpulan penduduk itu turut dirampas.
"Mereka hanya diberikan sekeping kertas sebagai dokumen pengenalan diri yang tidak diiktiraf mana-mana undang-undang negara antarabangsa,” jelasnya lagi.
Difahamkan, kumpulan tersebut dihantar ke kem tapisan di bandar Tomsk, Vladimir dan Yaroslavl di Moscow untuk prosedur pemeriksaan telefon bimbit dan merampas dokumen pengenalan diri Ukraine.
Pemindahan secara paksa itu didedahkan selepas tentera Rusia semakin memperhebatkan serangan ke atas bandar strategik tersebut dan turut mengebom pusat perlindungan penduduk tanpa perikemanusiaan, beberapa hari selepas sebuah teater yang menempatkan ratusan orang awam dibedil.
"Dalam kejadian serangan terbaharu, sebuah sekolah seni yang menempatkan kira-kira 400 wanita, kanak-kanak dan warga emas menjadi sasaran kempen pengeboman Moscow.
"Bangunan yang terletak di timur bandar tersebut dilaporkan musnah dan kebanyakan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan,” kata jurucakap pasukan kecemasan.
Dalam perkembangan terkini, tentera Rusia didakwa telah melepasi pertahanan tentera Ukraine dan semakin mara ke Mariupol sehingga mencetuskan pertempuran sengit di tengah bandar tersebut.
Sejak lebih dua minggu lalu, kira-kira 400,000 penduduk Mariupol didakwa terperangkap tanpa bekalan kuasa elektrik dan makanan yang mencukupi sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan di bandar pelabuhan tersebut.
Ketika ini, serangan udara bertalu-talu juga dilancarkan di Mykolaiv selepas berek tentera di bandar selatan itu dibedil dan meragut sekurang-kurangnya 100 nyawa. - AFP
Info:
- Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa sekurang-kurangnya 847 orang awam terkorban di Ukraine sejak 24 Februari lalu.