Ketiadaan Ultras Malaya amat dirasai

Iklan
Syed Saddiq

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui ketiadaan Ultras Malaya amat dirasai pada kejohanan bola sepak Piala Airmarine 2019 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas 0-1 kepada Singapura.

Beliau yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu malam tadi, berkata semangat yang dibawa Ultras Malaya tiada tandingnya dalam menaikkan semangat pemain skuad negara.

Iklan
Iklan

"Paling jelas, ketidakhadiran Ultras Malaya sangat dirasai kerana semangat yang mereka bawa ke stadium itu tiada tandingannya,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran dan pengumuman laluan Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL2019) di sini hari ini.

Ultras Malaya memboikot aksi Piala Airmarine 2019 susulan harga tiket didakwa mahal sebanyak RM35 sedangkan setiap aksi persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ sebelum ini hanya RM20.

Iklan

Syed Saddiq seterusnya menyeru agar penyokong tempatan khususnya peminat bola sepak dan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mengetepikan konflik yang timbul antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Ultras Malaya.

"Ketepikan semua konflik yang timbul antara persatuan (FAM) dan Ultras. Walau apa pun terjadi kita mesti memberi sokongan kepada mereka (skuad Harimau Malaya),” katanya.

Iklan

Pada aksi malam tadi, Malaysia tewas kepada Singapura menerusi jaringan tunggal pemain lincah, Faris Ramli di penghujung perlawanan.

Malaysia akan berdepan Afghanistan pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Sabtu ini.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi skuad negara pada perlawanan semalam, Syed Saddiq yakin skuad Harimau Malaya mampu bangkit melakukan lebih baik pada aksi seterusnya.

Pada masa sama, ada juga pemain tidak dapat menyertai skuad Harimau Malaya kerana terlibat dengan persediaan menghadapi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 tahun (B-23), katanya. - Bernama