TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tindakan baginda menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional di Bukit Jalil tidak ada kaitan dengan kekalahan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tangan KL City FC pada final Piala Malaysia musim lalu.
Sebaliknya, TMJ yang juga pemilik JDT memberitahu, usahanya menukar rumput padang Stadium Nasional daripada cowgrass kepada zeon zoysia' adalah untuk mempertingkatkan gaya permainan Harimau Malaya supaya seiring perkembangan bola sepak moden ketika ini.
"Majoriti stadium di Malaysia guna rumput cowgrass. Di Kedah cowgrass, di Selangor cowgrass, semua tempat cowgrass tapi kita (JDT) menang juga. Cuma satu perlawanan final Piala Malaysia kita kalah dan ia tiada kena mengena dengan perkara ini.
"Jadi tiada kena mengena dengan JDT kalah di sini (Stadium Nasional). Satu lagi kita kalah dengan Terengganu, tapi itu pun kita kalah dekat stadium kita sendiri (Stadium Sultan Ibrahim)," katanya dalam sidang media selepas melawat Stadium Nasional pada Sabtu.
Dalam sidang media itu, Tunku Ismail memberitahu projek penukaran padang yang ditajanya itu dijangka bermula pada Januari tahun depan dan mengambil tempoh sekurang-kurangnya empat bulan untuk siap dengan nilai perbelajaan antara RM1.2 juta hingga RM1.4 juta.
Dalam pada itu, Tunku Ismail bercadang menjemput kelab besar dari Eropah beraksi sempena perasmian padang baharu Stadium Nasional selepas ia siap sepenuhnya kelak.
Bagaimanapun, Tunku Ismail memberitahu, ketika ini masih belum ada kata putus kelab berkenaan sekalipun baginda tidak menolak kemungkinan Barcelona akan dijemput, namun tertakluk kepada persetujuan gergasi Sepanyol itu.
"Insya-ALLAH kita boleh jemput mana-mana kelab besar dari Eropah ke mari untuk bermain dengan pasukan kebangsaan atau mana-mana pasukan dalam Malaysia.
"Mana-mana kelab yang bersetuju, kita cari untuk datang lawan dengan pasukan kebangsaan atau kelab di Malaysia untuk kita rasmikan padang itu," ujarnya.