KUALA LUMPUR - Seramai 60 usahawan Nims Crispy Choco Tub diraikan pada majlis ‘Nims Only The Best Starpreneur 2022’ yang berlangsung di Hotel EQ di sini pada Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Norhanim Tengku Othman berkata, majlis makan malam dan anugerah yang diadakan adalah untuk memberi semangat kepada stokis dan ejen yang selama ini menyokong dan membantu memasarkan produk keluaran syarikat itu sehingga kini.
"Nims Adeliciousz memulakan perniagaan berasaskan coklat sejak lapan tahun lalu, cuma pada 2019 produk berasaskan coklat dan bijirin itu dijenamakan semula melalui inovasi produk,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Menurut Norhanim, Nims kini mempunyai dua buah kilang yang beroperasi di Meru dan Bangi, Selangor.
"Alhamdulillah, produk keluaran syarikat kami kini berstatus halal dan sekarang dalam proses piawaian GMP dan berhasrat untuk capai sehingga HACCP dan ISO,” ujarnya.
Tiga juta tub
Menurut Tengku Norhanim, Nims mempunyai tujuh rangkaian produk utama iaitu ‘Crispy Choco Tub’ manakala ‘Crispy Choco Bar’ hanya dipasarkan sepanjang musim perayaan.
"Pada tahun lepas Nims telah mencatatkan pengeluaran sebanyak tiga juta tub dengan purata pengeluaran 300,000 tub sebulan,” katanya.
Beliau berkata, konsep perniagaan yang dijalankan adalah secara berjemaah dengan objektif utamanya untuk membina ukhuwah serta membangunkan ummah.
"Kejayaan produk ini memberi semangat kepada Nims untuk terus mara dengan pelbagai agenda dirangka pada tahun ini.
"Tahun ini kami buka distribution centre di Sabah bagi memudahkan pengedaran produk di Borneo,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, disebabkan kos postage terlalu tinggi, pihaknya hanya membantu pasukan di Borneo untuk mendapatkan produk dengan lebih mudah tetapi melalui kos yang efektif.
"Insya-ALLAH tahun ini juga kami bakal mengeluarkan produk-produk yang lebih relevan dan disukai ramai, paling penting produk itu premium dan mesra ekonomi,” ujar beliau.