Ferrari juarai perlumbaan GP Bahrain

Iklan
Leclerc, Sainz dan Hamilton dalam kelompok tiga terbaik di F1 GP Bahrain. - Foto FIA

CHARLES Leclerc memacu kebangkitan semula Ferrari di pentas Formula Satu (F1) musim ini apabila menjuarai perlumbaan 57 pusingan pembuka tirai Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain pada Isnin.

Perlumbaan itu juga menyaksikan, Leclerc kelahiran Monaco berusia 24 tahun tersebut menyajikan pemanduan terpuji apabila memastikan gergasi sukan permotoran dari Itali memimpin setiap pusingan yang kali terakhir dijelmakan semasa GP Belgium pada 2018.

Iklan
Iklan

Tambah menarik kemenangan Leclerc (1.37:33 saat) turut dikongsi bersama rakan sepasukan Carlos Sainz (1.37:39 saat) di kedudukan kedua selepas memintas penyandang juara dunia Max Verstappen yang mengalami masalah mekanikal ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan.

Sementara itu, juara dunia tujuh kali Lewis Hamilton (1.37:43 saat) dan George Russell (1.37:49 saat) dari Mercedes pula tempat ketiga serta keempat selepas bergelut mencari rentak sepanjang perlumbaan tersebut.

Iklan

"Sejujurnya saya sangat gembira. Kami sebenarnya mengharapkan keputusan yang lebih baik pada perlumbaan ini. Ini selepas bergelut dengan pelbagai cabaran sejak dua tahun lalu.

"Ya, kami gembira dan sesungguhnya sesuatu yang luar biasa apabila dapat kembali semula berada di atas dengan cara yang terbaik... kami tidak boleh mengharapkan yang lebih baik," kata Leclerc ketika meraikan kemenangan ketiga dalam kariernya.

Iklan

Ferrari sebelum ini tidak pernah memenangi kejuaraan sejak 2008 diikuti merosot ke paras terendah 40 tahun di tempat keenam keseluruhan pada 2020 sebelum naik semula ke tangga ketiga musim lalu.