PENDAHULU Ligue 1, Paris St Germain (PSG) mempamerkan persembahan longlai apabila diaibkan AS Monaco, 3-0 dalam aksi liga di Stade Louis II pada Ahad.
Kekalahan keempat selepas mengharungi 29 perlawanan liga musim ini menimbulkan persoalan mengenai masa depan Mauricio Pochettino bersama Les Parisiens milik Qatar Sports Investments kurang dua minggu selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun kekalahan kepada skuad asuhan Philippe Clement itu tidak menganggu gugat kestabilan PSG yang kekal mengemudi liga dengan 65 mata selepas mengharungi 29 perlawanan - masih mendahului Rennes (52 mata) dan Olympique de Marseille serta Nice.
Les Parisiens yang turun tanpa kelibat Lionel Messi selepas diketepikan kerana selesema ternyata beraksi longlai selepas disingkirkan Real Madrid dari pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara sebelum ini.
Tiga gol setiap babak daripada Wissam Ben Yedder (25', 84') dan Kevin Volland (68') membolehkan Monaco naik tempat ketujuh selepas mengumpul 44 mata setelah mengharungi 29 perlawanan.
"Monaco bermain dengan baik, tahniah kepada mereka. Mereka pasukan yang bagus dan hebat.
"Matlamat kami adalah untuk menjulang kejuaraan ke-10 liga Perancis. Kami boleh menang 8-0, 9-0, namun orang tetap akan bercakap mengenai Liga Juara-Juara. Apa pun yang berlaku para pemain PSG mesti menghormati diri sendiri, jika kami mempunyai harga diri. Kami juga perlu menghormati para penyokong Les Parisiens," kata penyerang PSG, Kylian Mbappe.