PRN Johor: Undi18 bawa calon lebih muda, muka baharu

Iklan
Dalam PRN Johor, Undi18 meningkatkan populasi pengundi kira-kira 750,000 pengundi. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Masih belum ada gambaran jelas ke mana perginya undi belia untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kerana ia hanya akan diketahui sebaik sahaja data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikeluarkan.

Bagaimanapun, daripada bukti dan maklumat yang dikumpul daripada pemerhati pilihan raya, undi orang muda nampaknya berpecah antara Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

Menurut Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, ketika PRN Johor, parti-parti politik mengubah strategi mereka dengan menamakan calon yang lebih muda dan muka baharu untuk bertanding.

"Terdapat lebih ramai muka muda dan baharu yang dibawa untuk pilihan raya. Contohnya, kita ada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menunjukkan prestasi dan mendapat peratusan undi yang cukup baik walaupun hanya bertanding di tujuh kerusi. Pemuda UMNO berjaya menampilkan beberapa calon yang memenangi kerusi,” katanya.

Iklan

Ujar Tharma, untuk menyatakan secara konklusif parti mana yang paling mendapat keuntungan daripada Undi18 dalam pilihan raya akan datang adalah sukar kerana belia dari kawasan berbeza mempunyai pilihan mengundi dan kesetiaan politik yang berbeza.

"Salah satu sebab Undi18 dapat diluluskan secara undang-undang dengan sokongan semua pihak adalah kerana ia bukan agenda partisan. Bukan sesuatu yang akan menyebelahi mana-mana parti tertentu dan setiap parti politik akan mempunyai pengundi sendiri yang akan menguntungkan mereka,” jelasnya.

Iklan

Dalam PRN Johor, Undi18 meningkatkan populasi pengundi kira-kira 750,000 pengundi. Ini terdiri daripada 175,000 pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun dan 575,000 pengundi berumur 21 tahun ke atas yang tidak pernah mendaftar sebelum ini, tetapi secara automatik dimasukkan ke dalam daftar pemilih sebaik sahaja Undi 18 berkuat kuasa.

Tambah beliau, lebih banyak penglibatan dan pendidikan pengundi diperlukan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang. Penglibatan ini tidak seharusnya terhad kepada pengundi muda sahaja tetapi mesti tersedia kepada semua pengundi baharu.

"Kita perlu ingat bahawa sebahagian besar pemilih baharu yang dimasukkan ke dalam daftar pemilih adalah mereka yang belum mendaftar atau memilih untuk tidak mendaftar walaupun berumur 21 tahun dan ke atas.

"Bagi individu dalam kategori ini, ia mungkin merujuk kepada mereka yang tidak berminat atau tidak peduli tentang politik, yang mungkin berada di luar negara, yang berada dalam isi rumah B40 dan mungkin tidak mempunyai masa untuk mendaftar.

"Terdapat pelbagai faktor mengapa individu ini memilih untuk tidak mendaftar sebagai pengundi,” kata beliau.

Ujarnya lagi, pendedahan dan pendidikan pengundi bukan sahaja perlu dilakukan oleh parti politik, tetapi terutamanya oleh SPR memandangkan Malaysia kini telah menambah kira-kira 5.8 juta pengundi baharu ke dalam daftar pemilih hasil daripada perundangan Undi18.

"Tiada Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik yang boleh melakukan pendekatan secara berkesan kepada komuniti besar ini. Ia benar-benar terpulang kepada kerajaan untuk mendekati pengundi baharu dengan berkesan,” katanya.