WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa keganasan yang dilakukan oleh tentera di Myanmar terhadap minoriti Muslim Rohingya adalah sama dengan pembunuhan beramai-ramai, kata seorang pegawai negara berkenaan kepada AFP pada Ahad.
Pegawai yang namanya tidak didedahkan itu berkata, keganasan itu juga merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.
Iklan
Iklan
Ratusan ribu Muslim Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar yang mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha sejak tahun 2017 setelah tindakan keras tentera yang kini menjadi subjek kes pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Belanda.
Pegawai itu mendedahkan perkara tersebut sebelum Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang secara rasmi akan mengumumkan pendirian kerajaannya ketika berucap semasa melawat Muzium Holokus di Washington pada Isnin yang mengadakan pameran bertajuk 'Jalan Burma ke Genosid'.
Blinken menyatakan pada bulan Disember tahun lalu semasa lawatan ke Malaysia bahawa AS menyatakan bahawa perbuatan tentera Myanmar terhadap Rohingya kemungkinan kejadian pembunuhan beramai-ramai.
Kira-kira 850,000 penduduk Rohingya berlindung di kem-kem pelarian di negara jiran, Bangladesh.
Bagaimanapun, kes tentang pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2019 di Belanda itu telah menjadi sukar disebabkan oleh rampasan kuasa tentera pada tahun lalu yang menyebabkan kerajaan awam digulingkan dan ikon demokrasi negara tersebut, Aung San Suu Kyi ditangkap sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran dan pertempuran berdarah. - Agensi