Dua Ahli Dewan Negara angkat sumpah pada Isnin

Iklan
Dewan Negara

KUALA LUMPUR - Dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim pada Isnin.

Mereka ialah Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad, Datuk Dr Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Iklan
Iklan

Azhar dan Mohd Ridhwan adalah lantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa mulai Isnin hingga 20 Mac 2025.

Kedua-dua mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara di sini.

Iklan

Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan dua Ahli Dewan Negara itu mengingatkan mereka supaya menggalas tanggungjawab sebaik mungkin dan menunaikan segala sumpah yang dilafazkan dengan penuh amanah kerana Dewan Negara ketika ini sedang melalui fasa transformasi.

Menurutnya, setiap Ahli Dewan Negara perlu mematuhi serta melunaskan tanggungjawab sebagai Senator sebaiknya kerana hasil kerja setiap daripada mereka akan dinilai dan diukur oleh rakyat.

Iklan

"Zaman Ahli Dewan Negara seperti dahulu harus dikikis dan Ahli Dewan Negara yang baharu perlu jadikan sebagai realiti dan senarai tugas telah diberikan dan diharapkan Ahli Yang Berhormat menggunakan kepakaran masing-masing untuk menjuarai apa-apa juga bidang yang terpalit dengan tugasan tersebut.

"Tugas dan khidmat kita tidak berakhir pada bunyi loceng Parlimen sebaliknya khidmat kita lantas terus di lapangan rakyat sama ada di kampung dan pekan, di bandar dan luar bandar,” katanya.

Rais turut menekankan supaya Ahli Dewan Negara tidak membaca teks perbahasan secara keseluruhannya sebaliknya berbahas mengikut lunas di Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 36.

Dalam pada itu, Rais turut memaklumkan Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Senator Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di luar dewan pada 20 Januari 2022.

Kedua-dua mereka adalah lantikan baharu oleh Dewan Undangan Negeri Perak. - Bernama