MELAKA - Masalah kepadatan murid dan kekurangan bilik darjah di sekolah rendah negeri ini seperti yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput cetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta guru.
Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini terdapat 36 bilik darjah dari Tahun Satu hingga Enam di sekolah itu namun purata setiap bilik darjah mencecah sehingga 39 orang murid.
Menurutnya, sekali gus situasi itu menyukarkan untuk murid-murid mengamalkan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal.
Katanya, kebimbangan itu juga akan dipanjangkan kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam pertemuan beliau dengan menteri itu tidak lama lagi.
"Contoh di sekolah ini terdapat 39 murid dalam setiap kelas, tapi yang disarankan sebuah kelas dalam 25 orang murid dan ini telah melebihi.
"Keadaan ini juga tidak berapa baik dan kepadatan ini juga sukar bagi guru-guru memastikan penjarakan fizikal antara murid," katanya.
Rais berkata demikian ketika membuat lawatan pada sesi persekolahan baharu di SK Paya Rumput, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut beliau juga tidak menolak keadaan ini berlaku di sekolah-sekolah lain di Melaka namun masih belum mendapatkan data dan maklumat lengkap.
Menurutnya, telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan guru-guru menyiapkan laporan penuh bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan demi keselamatan dan keselesaan murid-murid.
"Selain masalah kekurangan kelas, sekolah ini juga tidak ada bilik guru jadi guru-guru terpaksa duduk di kantin termasuk bermesyuarat di kantin.
"Kita akan ambil perhatian dan selesaikan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Dengan penambahan pelajar sudah tentu bangunan sekolah dicadang untuk ditambahkan atau pembinaan sekolah baharu," katanya.
Pada sesi itu Rais turut membuat lawatan dalam kawasan sekolah berkenaan.