SELEPAS prestasi mengecewakan pada Kejuaraan Piala AFF tahun lalu, skuad kebangsaan perlu membuktikan sesuatu pada saingan Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura bermula minggu ini.
Dalam saingan itu, Malaysia dijadual menentang Filipina pada Rabu ini dan skuad tuan rumah pada 26 Mac dengan kedua-dua aksi itu berstatus perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Pemain sayap lincah, Muhammad Faisal Abdul Halim menyifatkan keputusan menentang kedua-dua pasukan itu amat penting sebelum skuad kebangsaan menghadapi misi getir pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini.
"Kalau dalam dua perlawanan persahabatan ini kita tak boleh nak membuktikan pasukan kita adalah yang terbaik, macam mana kita nak berlawan di Kelayakan Piala Asia?
"Kita berlawan dengan Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh (Kelayakan Piala Asia) yang lagi bagus daripada Filipina dan Singapura. Jadi, kalau dengan Singapura dan Filipina pun kita tak dapat bersaing (berlawan), macam mana di pusingan kelayakan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan terakhir skuad Harimau Malaya sebelum berlepas ke Singapura esok, di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, pagi Isnin.
Sementara itu, Muhammad Faisal bersetuju dengan kenyataan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan-gon sebelum ini yang menyifatkan barisan pemain negara sebenarnya bagus tetapi kurang keyakinan diri.
Pemain Terengganu FC, berusia 24 tahun itu berkata, rata-rata pemain negara memiliki kemahiran dan keupayaan untuk menyaingi pasukan lain, namun tidak mempunyai semangat bermain sebagai satu pasukan yang jitu.
"Sekarang apabila datang jurulatih Kim, kita dapat satu kerja sepasukan yang lebih baik, lebih mantap. Pada saya boleh dikatakan memang perubahan akan berlaku dan corak permainan akan berubah, kita akan lebih agresif,” katanya.
Selepas menentang Filipina dan Singapura, pasukan negara akan menamatkan siri aksi persahabatan di Singapura yang juga persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 dengan bertemu kelab tempatan Albirex Niigata FC dalam aksi tertutup pada 28 Mac ini. - Bernama