SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat mencadangkan supaya Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dijadikan syarat-syarat pelesenan utama dalam bidang penyiaran.
Menurutnya, ia bagi memastikan drama dan filem yang dihasilkan tersebut berada dalam piawaian syarak.
Jelas Dewan Ulamak Pas Pusat, pembinaan karektor sesebuah karya seni perlu mengambil kira hukum fiqh yang berkaitan dengan kandungan teks, watak dan lokasi drama atau filem sesuai dengan batas-batas syarak, adat Melayu dan budaya Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Muslim.
"Dewan Ulamak Pas Pusat mengikuti rapat dan amat berdukacita atas perkembangan mengenai isu trending di laman Twitter baru-baru ini tentang satu klip video ‘panas’ sebuah drama terbaharu yang bakal ditayangkan sepanjang bulan Ramadan tidak lama lagi.
"Kami berpendirian selari dengan penegasan, tindakan dan amaran keras Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada stesen-stesen televisyen yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penggiat filem dan drama agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya pada Isnin.
Dewan Ulamak Pas Pusat juga mencadangkan agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menguatkuasakan Garis Panduan Jakim sebagai asas rujukan kepada agensi-agensi di bawah kementerian terlibat.
"Ia bagi menentukan isi kandungan sesebuah bahan penyiaran tidak menyimpang daripada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah wal-Jamaah, adat dan budaya Malaysia,” jelasnya.
Menurut kenyataan, banyak drama televisyen tempatan yang dilihat kurang memberi nilai positif terhadap pemikiran, pendidikan dan pembinaan sahsiah masyarakat.
Jelasnya, situasi tersebut didorong oleh sebahagian stesen televisyen, penerbit, penulis skrip dan pengarah filem atau drama hanya mengikut rentak pasaran semata-mata.
"Mereka memaparkan elemen ganas, khurafat, skandal dan percintaan yang berlebihan, tanpa merujuk kepada batas-batas syarak, adat Melayu dan budaya Malaysia,” jelasnya.