PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp berharap skuad kendaliannya itu bersedia secukupnya menjelang dua pertemuan dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) di Etihad pada 10 April dan separuh akhir Piala FA berdepan Manchester City di Wembley, 16 April depan.
Katanya, biarpun pihaknya termasuk City tidak begitu senang dengan situasi seperti ini, namun kedua-dua perlawanan berkenaan dilihat cukup penting bagi kedua-dua kelab yang dilihat memiliki misi menambah koleksi trofi kejuaraan yang dimiliki.
"Seperti kami, saya juga percaya, City pasti tidak suka dengan situasi seperti ini, namun itulah hakikatnya iaitu apabila saingan semakin hampir ke penghujung.
"Jika kita tidak bertemu mereka pada peringkat awal, pasti akan bertemu juga sama ada di separuh akhir atau pada perlawanan akhir.
"Bagaimanapun, ia lumrah dalam mana-mana pertandingan, lagipun bukannya setiap minggu kita perlu berdepan dengan mereka kerana mereka pasukan yang kuat,” katanya.
Untuk rekod, Liverpool menewaskan Nottingham Forest 1-0 manakala City menewaskan Southampton 4-1 bagi menempah slot ke saingan separuh akhir musim ini.
Sementara itu, Klopp tabik hormat kepada kelab Forest, yang memberikan tentangan sengit aksi suku akhir berkenaan di City Ground, pada Isnin.
Malah menurut Klopp, The Reds bernasib baik untuk memenangi aksi suku akhir berkenaan di sebalik kesukaran yang diharungi di sepanjang perlawanan.
"Apa yang boleh saya katakan, perlawanan ini tidaklah semudah yang disangka, mungkin boleh dikategorikan sebagai perlawanan yang cukup sukar untuk diharungi.
"Tidak salah rasanya untuk saya memuji rakan sejawat saya, Steve Cooper yang telah berjaya membentuk Forest sebagai pasukan yang hebat.
"Mereka telah membuktikannya malam dengan beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan dengan mengekang dan turut melakukan percubaan bahaya ke pintu gol,” katanya.
Pada aksi suku akhir berkenaan, Liverpool dilihat berhempas pulas memberikan saingan kepada Forest dan perlu menunggu hingga minit ke-78 bagi menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi Diogo Jota untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.