Tingkat kempen tarik rakyat Kelantan suntik dos penggalak

Iklan
Annuar (kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir di Kampung Serongga, Repek, Pasir Mas pada Isnin.
PASIR MAS - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) akan meningkatkan lagi kempen dalam usaha menarik lebih ramai rakyat negeri ini untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

MenKOMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendekatan kempen baharu akan turut diguna pakai sekiranya usaha sedia gagal memberikan impak positif dalam menarik masyarakat untuk menjayakan suntikan dos tersebut.

"K-KOMM sedang melihat beberapa langkah untuk membangkitkan lagi kesedaran mendapatkan suntikan vaksin termasuklah kerjasama dengan syarikat telco," katanya selepas menyampaikan sumbangan banjir di Kampung Serongga, Repek di sini pada Isnin.

Seramai 150 mangsa banjir di kawasan berkenaan menerima sumbangan tersebut.

Menurutnya, kerjasama itu menerusi penghantaran pesanan mesej kepada pelanggan telco berkait dengan kepentingan mendapatkan vaksin sebagai perlindungan diri.

Beliau berkata, langkah itu susulan suntikan dos penggalak di negeri ini masih rendah berbanding tempat-tempat lain di seluruh negara.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pihaknya bimbang peningkatan kes jangkitan di Kelantan akan meningkat sejurus sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini kembali dibuka bermula 1 April ini.

"Suntikan vaksin sangat penting, bila sempadan dibuka risiko jangkitan Covid-19 untuk rakyat di negeri ini dijangka tinggi.

"Oleh itu saya merayu kepada rakyat Kelantan untuk melengkapkan suntikan dos penggalak sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Annuar berkata, pimpinan parti politik; masyarakat dan ketua-ketua komuniti serta imam perlu memainkan peranan mengajak penduduk untuk menjayakan suntikan dos penggalak.

Katanya, fasa endemik bukan masanya untuk rakyat selesa dengan mengabaikan SOP sebaliknya sentiasa waspada terhadap ancaman Covid-19.