TEMERLOH - Hasrat seorang warga emas memiliki kediaman sendiri tercapai selepas 22 tahun menumpang di rumah anak saudaranya.
Hasmah Hassan, 73, yang juga ibu tunggal dari Kampung Gunung Senyum di sini bersyukur menerima rumah Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 seunit.
Kunci rumah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah pada Ahad.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Syed Ibrahim dan semua pihak yang membantu sehingga saya boleh tinggal di rumah ini dengan selesa," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Seorang anak warga emas tersebut, Suriati Ismail, 42, turut bersyukur kerana hasrat ibunya tercapai untuk memiliki rumah sendiri.
Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai memberitahu, pembinaan rumah bermula Mei tahun lalu namun pelbagai kekangan dihadapi berikutan pandemik Covid-19 menyebabkan pembinaan tertangguh dan siap sepenuhnya Februari lalu.
"Kami gembira dengan reka bentuk rumah yang tidak bertangga sesuai memudahkan pergerakan ibu yang sudah lanjut usia," ujarnya