SPR perlu setiap masa berkecuali untuk pilihan raya bebas, adil

Iklan
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hadir mencemar duli menyempurnakan pelancaran buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia tulisan bekas Pengerusi SPR, Ab Rashid Ab Rahman dan penganalisis politik, Dr G Manimaran di Hotel Majestic, pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib pada setiap masa bersikap berkecuali tanpa memihak kepada sesiapa.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pilihan raya yang bebas dan adil membolehkan semua warganegara, parti, calon dan media menikmati hak asasi mereka.

Iklan
Iklan

Menurut baginda, perkara itu merangkumi kebebasan bersuara, berpersatuan, bergerak dan berhimpun; bebas daripada ugutan, bebas dari tekanan dan bebas dari keganasan; serta bebas mendapat akses kepada maklumat dan kemudahan media.

"Pilihan raya yang bebas dan adil memastikan bahawa semua calon dan semua parti bersaing berasaskan layanan yang saksama, berpandukan undang-undang, dalam gelanggang dan padang permainan yang sama rata.

Iklan

"Di bawah prinsip ini, perlu ada pemisahan yang jelas antara badan kerajaan dan parti politik, dan garis panduan yang menetapkan kemudahan awam dan sumber yang tidak boleh digunakan secara tidak adil,” titah baginda selepas berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia tulisan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan penganalisis politik, Dr G Manimaran di Hotel Majestic di sini, pada Isnin.

Sultan Nazrin bertitah, pilihan raya yang bebas dan adil turut melindungi hak semua rakyat untuk mendapat keadilan serta hak untuk mengundi secara rahsia.

Iklan

"Untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, para petugas pilihan raya hendaklah berperanan sebagai fasilitator membantu dan memudahkan calon yang berhasrat menawarkan diri mahu bertanding dan rakyat yang mahu mengundi, bermula daripada proses dan prosedur yang dipermudahkan, begitu juga dalam menetapkan tarikh, tempat dan waktu pilihan raya dilangsungkan,” titah baginda.

Menurut baginda lagi, pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil akan meningkatkan keyakinan pengundi diperlihatkan melalui peratusan tinggi rakyat yang turun mengundi.

"Pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan adil akan menjadi penanda aras ketulenan dan kayu ukur kesungguhan budaya demokrasi yang diamalkan oleh sesebuah negara.

"Sesuatu pilihan raya yang dilaksanakan secara bebas dan adil bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan dan penyertaan rakyat, malah menjadi satu piawaian antarabangsa akan tahap keutuhan hak asasi seseorang warganegara,” tegas baginda.

Titah baginda lagi, cara sesuatu pilihan raya dikendalikan turut mencerminkan tahap pemikiran, tahap intelek, tahap kematangan, tahap meluhurkan perlembagaan dan tahap mendaulatkan undang-undang, juga tahap integriti, keikhlasan dan amalan ketelusan pentadbiran sesebuah negara.