ALOR SETAR - Kerajaan negeri diminta mengiktiraf Gunung Bintang di Kulim sebagai gunung tertinggi di Kedah sebagai usaha meningkatkan sektor pelancongan di Kedah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Yeo Keng Chuan berkata, ramai pendaki mula menunjukkan minat melakukan aktiviti pendakian di gunung tertinggi di Kedah itu.
"Tempahan dibuka untuk pendakian di Gunung Bintang mendapat sambutan memberangsangkan.
"Saya menerima berita baik daripada seorang pemandu pelancong di Sedim mengatakan bahawa bilangan pelancong mendaftar dan membuat tempahan untuk mendaki Gunung Bintang penuh hingga Mei depan. Keadaan ini tidak pernah dicapai beberapa tahun lepas, sekali gus menunjukkan Gunung Bintang makin dikenali," katanya ketika membahaskan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Isnin.
Justeru beliau, menyarankan kerajaan negeri mengiktiraf Gunung Bintang sebagai gunung tertinggi di Kedah untuk mempromosikan lokasi tersebut.
"Dengan pengiktirafan sebagai gunung tertinggi, ia mampu menarik lebih ramai pelancong sekali gus meningkatkan industri pelancongan dan memberi peluang kepada penduduk setempat menjana pendapatan," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga diminta menambah baik fasiliti dan trek mendaki di gunung tersebut bagi memastikan kelancaran pendakian dan menjaga keselamatan pendaki.
Kata Keng Chuan, pihak terbabit diharap mengambil tindakan segera memandangkan infrastruktur berkualiti dapat menarik pelancong.