Khairy rakam tahniah kejayaan pemisahan kembar siam

Iklan
Khairy diiringi Noor Hisham, melawat bayi kembar siam berkenaan. - Foto Facebook Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan pembedahan Hospital Tunku Azizah (HTA), atas kejayaan pemisahan pasangan kembar siam pramatang, Daelan Hope Marshall dan Daevyn Hope Marshall, pada Sabtu lepas.

Menerusi catatan di Facebooknya, Khairy menzahirkan penghargaan kepada pasukan pembedahan diketuai Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Datuk Dr Zakaria Zahari, pakar-pakar bius dan kesemua jururawat serta pembantu perubatan yang terlibat, dalam pembedahan selama 66 minit itu.

Iklan
Iklan

"Ini merupakan pembedahan kembar siam ketiga yang telah berjaya dilaksanakan oleh HTA sejak ia dibuka,” menurut catatan itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa bayi tersebut, Deborah Anne M. Vincent Paul serta David Marshall, atas kelahiran pasangan kembar berkenaan.

Iklan

Terdahulu, Khairy diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melawat Daelan dan Daevyn serta ibu bapa mereka di HTA dan turut berkongsi gambar lawatan itu.

Pembedahan pasangan kembar berkenaan dilaksanakan dengan jayanya membabitkan 13 doktor pakar termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara, serta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.

Iklan

Bayi kembar itu dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan, sebelum kes dirujuk kepada HTA.

Disebabkan komplikasi ‘extrauterine twin to twin transfusion’, pakar-pakar HTA dan HRPB memutuskan supaya kedua-dua bayi itu dipisahkan pada usia 17 hari. - Bernama