Kerajaan pulangkan RM4b cukai GST

Iklan

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah memulangkan RM4 billion kepada 54,603 pembayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga 3 Mac 2019, manakala bayaran balik cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri mencecah RM3.9 billion setakat 28 Februari, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Jumlah pulangan cukai pendapatan tersebut melibatkan 75,776 tuntutan yang merangkumi 38,104 kes syarikat dan 37,672 kes bukan syarikat.

Iklan
Iklan

"Pembayaran balik cukai-cukai ini menunjukkan bahawa kerajaan PH tidak menyelewengkan pulangan dividen daripada Petronas serta ikhlas menunaikan janji pemulangan tunggakan pembayaran balik cukai kepada rakyat dan syarikat Malaysia.

"Sebaliknya, tindakan ini akan memberi satu impak yang positif kepada perniagaan-perniagaan Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi," kata Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.

Iklan

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mengenai jumlah tuntutan balik GST yang masih belum dapat dijelaskan oleh kerajaan.

Di antara Januari sehingga 28 Februari 2019, dividen khas sebanyak RM8 bilion telah diterima daripada Petronas dan sejumlah RM7.9 bilion telah dibayar balik kepada pembayar cukai GST dan cukai pendapatan.

Iklan

Pada pembentangan Belanjawan 2019, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa Petronas akan memberi dividen khas sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan untuk digunakan dalam pembayaran tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan yang dianggarkan berjumlah RM37 billion pada tahun ini.

Tunggakan pembayaran balik cukai pendapatan selama enam tahun dan GST selama tiga tahun yang berjumlah RM37 bilion merupakan kegagalan pengurusan kewangan negara oleh kerajaan sebelum ini.

Sementara itu, jumlah tuntutan bayaran balik GST yang masih belum selesai adalah sebanyak RM22.145 billion yang melibatkan 298,457 penyata dan 168,839 pendaftar setakat 4 Mac 2019.

Beliau berkata, amaun tuntutan bagi 100 syarikat tertinggi yang masih belum dibayar dan disahkan untuk pembayaran adalah sebanyak RM9.36 bilion, yang mana ia melibatkan 1,028 penyata.

"Semua tunggakan bayaran balik GST akan dipulangkan sepenuhnya seperti mana yang telah diumumkan tertakluk kepada tuntutan yang dibuat oleh syarikat, adalah teratur dan mengikut peraturan semasa yang ditetapkan,” tambahnya.

Tunggakan bayaran balik GST sehingga 31 Mei 2018 adalah sebanyak RM19.4 bilion yang melibatkan lebih 120,000 pendaftar.

"Pada Ogos 2018, JKDM telah menetapkan RM19.4 bilion sebagai amaun yang telah melalui pelbagai proses verifikasi, tapisan dan semakan dalaman untuk pembayaran balik.

"Hanya kerana wang yang tidak mencukupi dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST yang menyebabkan jumlah ini tidak diluluskan dan dipamerkan dalam laman web JKDM agar langkah terakhir pembayaran tidak dilaksanakan.

"Sekiranya terdapat wang yang mencukupi, tentu jumlah tersebut akan diluluskan dan dipamerkan. JKDM kemudiannya akan mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk membuat pembayaran balik," kata Guan Eng. - Bernama