Lelaki terlepas dari AADK diburu

Iklan
Hebahan seorang lelaki melarikan diri dari van AADK ketika dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, Batu Kurau mula tular sejak semalam.

TAIPING - Seorang lelaki diburu selepas meloloskan diri dari kenderaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika dalam perjalanan ke lokap Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, Batu Kurau di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek bersama empat tahanan lain dihantar ke pusat berkenaan bagi menjalani hukuman reman.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek berusia 41 tahun itu berjaya membuka gari dan meloloskan diri menerusi tingkap van setelah tiba di Jalan Taiping ke Batu Kurau.

"Suspek telah melarikan diri ke arah kawasan Perumahan Awam Batu 4, Kamunting. Usaha mencari di sekitar kawasan itu dilakukan namun, tidak berhasil.

Iklan

"Pihak AADK mengambil keputusan untuk meneruskan semula perjalanan ke pusat itu kerana mempunyai empat tahanan lain dalam kenderaan sebelum membuat laporan," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek merupakan pesalah AADK Kuala Kangsar yang ditahan Selasa lalu di bawah Seksyen 4(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Iklan

"Balai Polis Kamunting telah membuat hebahan dan pegawai AADK membuat pencarian di kawasan berkaitan.

"Ketika kejadian, suspek memakai baju T berwarna merah. Dia mempunyai fizikal yang kurus selain berjanggut dan bermisai," katanya.