ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri diminta memutuskan segera akta sesuai untuk penanaman pokok ketum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, penggunaan ketum sudah lama dibincangkan namun sehingga kini masih tiada penyelesaian.
Menurutnya, ketetapan segera perlu dibuat bagi memutuskan sama ada ketum lebih wajar diletakkan di bawah Akta Racun 1952 atau Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Sudah lama kajian dibuat tentang ketum, terdapat pro dan kontra namun masih tiada keputusan. Harap isu akta ini dapat diputuskan dengan cepat, sembang sudah, bentang pun sudah, bincang pun sudah terlalu lama,” katanya ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.
Norsabrina mencadangkan senarai penggunaan ketum dan meletakkan tanaman itu mengikut kesesuaian sama ada sama ada ADB 1952 atau Akta Racun 1952 dan yakin penyalahgunaan ketum dapat dikawal
Menurut beliau, penanaman dan penggunaan ketum mudah dirancang atau dikomersialkan untuk kebaikan jika akta yang sesuai dikuatkuasakan.
Menurutnya lagi, Kedah antara negeri yang memiliki ladang ketum yang luas sehingga 115 hektar dan sebahagian besar di daerah Padang Terap.
"Terdapat 47,500 pokok ketum di Padang Terap, manakala di Pendang sekitar 30,000 pokok. Daerah Sik pula terdapat 3,300 pokok dan Baling 1,000 pokok ketum. Manakala di Kulim (1,310 pokok) serta Langkawi 670 pokok ketum. Bermakna keluasan ladang ketum mengatasi keluasan tanaman buah-buahan.
"Di sekitar kampung terdapat penduduk menanam sepokok dua di belakang rumah untuk kegunaan perubatan tradisonal. Apa kita nak buat dengan tanaman ketum yang banyak ini,” katanya.
Pada 16 Mac, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan.
Muhammad Sanusi menegaskan, kerajaan negeri sudah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) melakukan sesi libat urus bersama semua agensi berkaitan dan dapatan terbabit akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan.