Pilih kerajaan merupakan urusan serius titah Sultan Nazrin

Iklan
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah sebelum pelancaran buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir’. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Memilih kerajaan merupakan urusan yang serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perkara yang menjadi pertimbangan ketika melakukan pengundian hendaklah berasaskan pemikiran yang rasional berteraskan fakta, bukannya berasaskan sentimen dan emosi.

Iklan
Iklan

"Socrates pernah mengingatkan, hanya mereka yang berupaya memikirkan isu secara rasional dan mendalam, yang wajar diberikan hak mengundi.

"Socrates amat memahami betapa mudahnya calon-calon yang menawarkan diri untuk diundi, mengeksploitasi selera pengundi dengan memberikan penyelesaian yang berbunyi mudah, menjanjikan perkara yang enak didengari telinga.

Iklan

"Socrates menyuarakan peringatan akan bahayanya pemerintahan yang diasaskan pada hukum rimba dan demagog (mob rule and demagoguery).

"Ahli falsafah dan pengarang British, Allan de Botton menganggap kebaikan demokrasi, tertakluk kepada ekosistem pendidikan yang berada di persekitarannya," titah baginda.

Iklan

Sultan Nazrin bertitah demikian selepas berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia tulisan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan penganalisis politik, Dr G.Manimaran di Hotel Majestic di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, baginda bertitah, tarikh 16 Julai 2019, merupakan satu lagi detik penting dalam sejarah politik negara apabila 32 ahli Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-undang menurunkan had usia layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

"Ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang, telah mencapai kata sepakat, meluluskan Rang Undang-undang tersebut.

"Parlimen Malaysia, di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebulat suara bersetuju dengan cadangan Pindaan kepada Perkara 119(1)(a) dan Perkara 119(4)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.

Susulan pindaan tersebut, lebih tujuh juta orang dijangka terdaftar secara automatik sebagai pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, meningkatkan bilangan pengundi lebih 50 peratus daripada bilangan pengundi berdaftar semasa Pilihan Raya Umum Ke14.

"Diunjurkan, seramai 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia 18 hingga 40 tahun, bermakna golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan untuk memilih pemimpin dan menentukan kerajaan," titah Sultan Nazrin.

Titah baginda lagi, keputusan tersebut hendaklah dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk memilih pemimpin dan mencorakkan kerajaan.

"Anak muda perlu dibimbing agar memiliki tahap literasi politik yang berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang sihat lagi membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.

"Anak muda juga perlu dibimbing untuk memiliki jati diri dan nilai-nilai moral yang betul, berpaksikan undang-undang, menolak rasuah dan sogokan, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca," titah baginda.

Sultan Nazrin beritah, anak muda juga perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai elemen-elemen kenegaraan dan tatanegara.

Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri, perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara.