Sukma XX, MSN 2022 berlangsung September

Iklan
Ahmad Faizal - Foto Bernama

TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang ditangguhkan penganjurannya berikutan penularan wabak Covid-19, akhirnya disahkan bakal berlangsung pada penghujung September 2022.

Perkara berkenaan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut Ahmad Faizal, Sukma edisi ke-20 yang bakal berlangsung mulai 29 September hingga 8 Oktober 2022 kelak akan dikenali sebagai Sukma XX MSN 2022.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari 2022 telah menyokong dan meluluskan penganjuran Sukma XX pada tahun ini, yang sebelum ini ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19, kini sah bakal dianjurkan pada penghujung September 2022.

Iklan

"Ini demi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten agar negara tidak ketandusan atlet yang bakal jadi pengganti untuk bersaing di peringkat tertinggi

"Malah, Pihak Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur bagi menyertai temasya sukan dwi tahunan itu sebagaimana yang telah dipersetujui," katanya pada Isnin.

Iklan

Untuk rekod, temasya Sukma XX ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mempertandingkan 31 jenis sukan melibatkan 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan serta dua sukan demonstrasi - silambam dan kabaddi.

Sementara itu, Jawatankuasa Teknikal Sukma akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi memutuskan jumlah akhir acara bakal dipertandingkan yang tertakluk kepada jumlah penyertaan minimum lapan negeri untuk setiap sukan dan acara.

Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju supaya Sukan Para Sukma XX, MSN 2022, bakal berlangsung mulai 29 Oktober hingga 6 November 2022.