Siang malam meriah!

Iklan
Wanita pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk singgah ke bandar Tangkak bagi mendapatkan kain dengan harga berpatutan.
TANGKAK - Jauh daripada kesibukan kota serta dikelilingi ribuan flora dan fauna berserta bunyi deruan air terjun menjadikan Taman Hutan Gunung Ledang destinasi percutian sempurna untuk dinikmati.

Dengan kejernihan dan kesejukan air yang mengalir dari gunung, ia pasti memukau setiap pengunjung.

Terletak 15km dari bandar Tangkak dan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Taman Hutan Lagenda Gunung yang diuruskan di bawah Perbadanan Taman Negara Johor pastinya mudah diakses kerana lokasi strategik.

Sejak diwartakan pada 2005 dan mulai beroperasi pada 2008, kawasan peranginan seluas 27km ini tidak putus menerima kunjungan orang ramai termasuk pelancong luar negara.

Malah suasana meriah tanpa tidak kira siang dan malam turut menyebabkan Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang lokasi terbaik bersama keluarga menjalankan pelbagai aktiviti.

Ini kerana selain mandi-manda, kawasan peranginan ini turut memberi kebebasan kepada pengunjung dalam menikmati keindahan dengan cara tersendiri.

Bagi pihak pengurusan pula, mereka tidak akan menyekat apa-apa sahaja aktiviti pengunjung selagi mematuhi peraturan. Mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga larut malam seperti memasak, barbeque atau pun meraikan sambutan hari lahir.

Selain bermandi-manda di kawasan air terjun, Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang turut menyediakan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan berbasikal sambil menyelusuri hutan.

Ia merupakan aktiviti utama diwujudkan untuk golongan yang gemar aktiviti lasak di mana seisi keluarga berpeluang mencubanya.

Justeru, selain beriadah, percutian ke Taman Lagenda Gunung Ledang pastinya mampu memberi pengalaman baharu kepada orang ramai.

Bagi pengunjung, Siti Hajar Mohd Yusoff, 42, pengalaman bercuti bersama keluarga di kawasan peranginan itu sememangnya memberi kelainan berbanding percutian sebelum ini.

"Kalau di tempat lain, kita hanya berpeluang mandi di air terjun sambil berkelah. Tetapi di sini, pengunjung boleh membuat pelbagai aktiviti termasuk memasak, sambil menerokai khazanah hutan yang ada.

"Dan yang menariknya adalah keadaan di sini benar-benar nyaman kerana pengunjung tidak terlalu memenuhi tempat rekreasi menjadikan ia lokasi percutian yang tenang,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, berdasarkan makluman pihak pengurusan, bilangan pengunjung ke kawasan ini terpaksa dihadkan bagi memastikan ia tidak terlalu terdedah dengan kehadiran orang ramai kerana dikhuatiri boleh menyumbang kepada kemusnahan hutan dan khazanah yang terdapat di situ.

Justeru, bagi mereka yang merancang untuk bercuti di sini, digalakkan menghubungi Taman Lagenda Hutan Gunung Ledang terlebih dahulu bagi membuat tempahan.

Setelah seharian menikmati keindahan alam semula jadi, pastinya kunjungan ke Tangkak tidak lengkap sekiranya kaum wanita tidak singgah ke bandar Tangkak yang sememangnya terkenal dengan jolokan ‘syurga kain’.

Memuatkan hampir 100 lot kedai kain, pengunjung pastinya berpuas hati kerana mempunyai banyak pilihan dengan harga berpatutan.

Malah, lebih menarik apabila rata-rata peniaga tekstil di sini menyediakan kain berkualiti yang diimport daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, China, India, Korea selain tekstil keluaran tempatan.

Berdekatan dengan terminal bas dan medan selera, pelbagai kemudahan boleh didapati seperti surau, tandas dan medan selera.

Pastinya percutian di daerah ini bakal memberikan pengalaman berbeza kerana menjanjikan kepuasan kepada pengunjung yang ingin jauh daripada kesesakan kota serta pemandangan pencakar langit yang padat memenuhi bandar raya.