Belum ada mana-mana pihak isytihar bubar, keluar MN

Iklan
Tuan Ibrahim (dua, kanan) melihat kualiti air yang diproses menerusi Loji Kumbahan Serantau Batu Berendam pada majlis perasmian dan penyerahan loji berkenaan kepada Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di sini, pada Isnin. - Foto Bernama

MELAKA - Belum ada mana-mana pihak sama ada UMNO mahupun Pas yang mengisytiharkan pembubaran Muafakat Nasional (MN), atau keluar daripada muafakat itu, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, perbincangan di peringkat tertinggi antara kedua-dua parti berkenaan status MN, juga masih belum diadakan setakat ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam di sini, pada Isnin.

Mengulas mengenai kenyataan seorang perwakilan UMNO Kelantan, dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang menganggap UMNO tidak boleh bekerjasama dengan Pas selagi tiga pemimpin Pas masih memimpin parti itu, Tuan Ibrahim berkata, ia hak Pas untuk mengekal atau menyingkirkan mana-mana pemimpinnya.

Iklan

Katanya, parti lain tidak perlu campur tangan dalam pentadbiran Pas.

Perwakilan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman dalam PAU sebelum ini menyatakan, UMNO tidak boleh bekerjasama dengan Pas selagi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, masih memimpin parti itu. - Bernama

Iklan