SEDAR tidak sedar sudah lebih dua tahun pandemik Covid-19 membadai Malaysia. Covid-19 telah mengorbankan kira-kira 5.9 juta penduduk di seluruh dunia sejak ia dikesan mula menular di China pada Disember 2019.
Pelbagai usaha dan langkah dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik di Malaysia. Pematuhan dan disiplin yang tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dilihat adalah antara faktor utama Malaysia masih mampu ‘bertahan’ walaupun muncul pelbagai varian baharu yang lebih ganas dan berbahaya seperti Omicron.
Jika diimbas kembali, kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2020.
Pelitup muka adalah satu langkah pencegahan yang penting dalam mengelak penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus termasuk Covid-19.
Pelitup muka boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau untuk mencegah orang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain.
Kesedaran dan permintaan terhadap pemakaian pelitup muka yang terus meningkat telah memberi potensi perniagaan yang baik kepada golongan pengeluar untuk menghasilkan pelbagai jenama dengan produk berkualiti tinggi, selamat, selesa, cantik dan menarik bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Sememangnya SOP itu perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Kini pelitup muka menjadi sebahagian aksesori wajib.
Namun, yang membimbangkan adalah kurangnya kesedaran mengenai tatacara pembuangan dan pelupusan pelitup muka.
Laporan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua 2021 merekodkan data anggaran penduduk semasa, penduduk Malaysia pada suku tahun kedua 2021 dianggarkan seramai 32.66 juta orang.
Jika setiap rakyat menggunakan pelitup muka, bayangkan berapa banyak ia digunakan dalam masa sehari.
Bayangkan juga, jika setiap orang mengganti pelitup muka setiap hari, bermakna beratus-ratus juta helai akan digunakan pada setiap bulan. Barangkali angka tersebut boleh mencecah berbilion helai.
Bagaimanapun, keadaan itu tentulah teruk jika separuh daripada kita masih dengan sikap tidak bertanggungjawab, tidak kisah dan tidak ambil peduli dengan melemparkan sahaja pelitup muka yang sudah digunakan di merata tempat.
Apa yang dapat kita perhatikan, pelitup muka terpakai ini dibuang sesuka hati di dalam longkang, di tepi jalan, malah ditinggalkan di tandas dan taman awam.
Tindakan segelintir mereka yang tidak prihatin itu mungkin boleh menyebabkan orang lain pula berisiko dari segi kesihatan.
Pelitup muka yang mengandungi bahan mikrofiber akan mengambil masa hampir 450 tahun untuk didegradasi secara semula jadi.
Bahan yang digunakan untuk menghasilkan pelitup muka juga boleh menjadi penyumbang kepada pencemaran air, sekiranya resapan cecair sampah itu mengalir ke sungai dan laut. Selain kesihatan manusia, pastinya hidupan akuatik turut terjejas.
Keadaan itu menyumbang kepada berlakunya banjir kilat dek kerana pembuangan pelitup muka terpakai bersama sampah sarap yang boleh menyebabkan saluran air tersumbat.
Kurang kesedaran sivik terhadap usaha memelihara alam persekitaran menyebabkan segelintir rakyat Malaysia kini dilihat bebas membuang pelitup muka yang telah digunakan di merata-rata tempat.
Pihak berwajib perlu memantapkan lagi kempen dan didikan mengenai tatacara pembuangan pelitup muka terpakai. Jadilah manusia bertanggungjawab dan buanglah pelitup muka yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
* Sharifah Nurul Aini Syed Osman ialah Kurator Media Sosial Sinar Harian