LBS sumbang idea pembangunan projek LRT di Johor Bahru

Iklan
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San

KUALA LUMPUR - LBS Bina Group Berhad hari ini mengumumkan kerjasama melalui perjanjian utama (HOA) yang dimeterai dengan Nylex (Malaysia) Berhad (Nylex), pemegang saham Sinar Bina Infra Sdn. Bhd. (SBI) iaitu BTS Group Holdings Public Company Limited (BTS) dan Ancom Berhad (Ancom) untuk membina dan mengendalikan sistem transit aliran ringan (Projek LRT) dengan pembangunan hartanah bersepadu berdasarkan konsep ‘Pembangunan Berorientasikan Transit’ di wilayah metropolitan Johor Bahru.

LBS dan SBI mempunyai tanah strategik di beberapa kawasan di Johor Bahru manakala BTS ialah syarikat tersenarai awam di Thailand dan pemegang saham majoriti bagi Bangkok Mass Transit System PCL, iaitu pengendali BTS Skytrain dan Bangkok BRT.

Iklan
Iklan

Menurut HOA, LBS akan menyediakan hartanah di kawasan tersebut berdasarkan pertimbangan yang dipersetujui bersama dengan mengambil kira penilaian yang bakal dilakukan oleh penilai bebas, bagi tujuan Projek LRT.

Sebagai pertukaran, LBS akan menerima saham Nylex pada harga RM0.15 sesaham dan LBS atau mana-mana anak syarikatnya akan menjadi kontraktor utama bagi pembangunan berkaitan.

Iklan

"HOA tertakluk kepada keputusan kajian yang akan dijalankan oleh BTS dan perunding profesional, pemberian konsesi Projek LRT oleh kerajaan negeri Johor kepada SBI serta menandatangani perjanjian muktamad bagi projek tersebut,”katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata, kerjasama yang berpotensi besar ini memberi peluang kepada pihaknya memberi nilai tambah yang sewajarnya ke atas tanah-tanah di Johor di samping meningkatkan kepakaran pembangunan hartanah dan pembinaan sertai mengatasi projek perumahan yang biasa dibangunkan.

Iklan

"Kami menjangka untuk menjana pendapatan melalui pembinaan infrastruktur dan pendapatan berulang yang stabil melalui projek ini. Wilayah metropolitan Johor Bahru semakin membangun dan, kesinambungan merupakan elemen yang penting bagi pertumbuhannya.

"Tambahan pula, tanah-tanah kami ini terletak di lokasi yang strategik. Kami menjangkakan projek ini akan menjadi pembangunan yang berdaya maju di samping melancarkan pengangkutan dan akses di kalangan masyarakat setempat,”katanya.

Menurutnya, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan golongan profesional yang berpengalaman dan berkemahiran teknikal serta berpengetahuan luas untuk membantu dalam projek itu.

"Kami akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian ini dan berkongsi sebarang maklumat sebagai tambahan kepada terma dan syarat perjanjian tersebut."katanya.