PENGENDALI skuad kebangsaan Belanda, Louis van Gaal mengkritik keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), susulan keputusan badan induk bola sepak dunia itu menangguhkan penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar.
Malah, Van Gaal turut menyifatkan keputusan penangguhan berkenaan sebagai satu keputusan yang ‘mengarut’ daripada FIFA.
"Keputusan menangguhkan Piala Dunia 2022 Qatar adalah keputusan yang mengarut! Saya juga telah bercakap mengenainya pada sidang media sebelum ini.
"Lagipun, kita bakal beraksi di sebuah negara yang mana sukan bola sepaknya sedang membangun dengan cukup pesat.
"Oleh itu, keputusan FIFA untuk menangguhkan Piala Dunia kali ini benar-benar satu keputusan yang mengarut kerana bagi saya ‘Piala Dunia’ sudah pun berada di sana (Qatar),” katanya.
Untuk rekod, penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar telah pun diumumkan pada Disember 2010 lalu dan berdasarkan jadual asal, Piala Dunia 2022 bakal berlangsung mulai 21 November hingga 18 Disember.
Malah, kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan stadium untuk dijadikan venue perlawanan telah pun dilaksanakan.
Sementara itu, Van Gaal berkata, sikapnya yang sering mengkritik FIFA diharap dapat membantu sekurang-kurangnya bagi menyuarakan hak bagi negara-negara lain yang sebenarnya turut tidak bersetuju pemilihan Qatar selaku tuan rumah bagi edisi 2022.
Malah Van berkata, tindakannya itu turut mendapat sokongan daripada negara-negara seperti Jerman, Norway dan Belanda berhubung isu hak-hak asasi manusia.
"Kenapa anda fikir saya bukan salah seorang ahli jawatankuasa di FIFA atau Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA)? Kerana saya sering mengkritik mereka.
"Saya boleh suarakan perkara ini di Qatar kelak, tetapi ia tidak akan membantu untuk menangani apa-apa pun,” katanya.