Kabinet Sabah setuju hadkan tempoh Ketua Menteri dua penggal

Iklan
Abidin ketika sidang DUN Sabah pada Selasa.

KOTA KINABALU - Kabinet Sabah pada dasarnya telah meluluskan cadangan untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi mengehadkan pelantikan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, perkara itu sudah dibincangkan jemaah kabinet negeri sebelum ini dan ia telahpun dipersetujui.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya jemaah kabinet telah meluluskan cadangan ini pada dasarnya.

"Sekiranya kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju menyokong cadangan ini, kita akan bawa perkara ini di Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang untuk meminda perlembagaan negeri," katanya dalam sidang DUN pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) sama ada kerajaan negeri bercadang untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal.

Madingkir tidak menafikan bahawa cadangan itu memang baik.

Iklan

"Kalau kita lihat di peringkat Persekutuan juga sudah ada cadangan untuk menghadkan tempoh pelantikan Perdana Menteri.

"Kalau kita lihat pula di negara-negara barat yang maju seperti di Amerika Syarikat dan juga negara-negara barat yang lain, mereka juga menghadkan tempoh pelantikan Presiden dan Perdana Menteri mereka masing-masing," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan, Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai kesannya terhadap perlembagaan sedia ada, Madingkir berkata, perkara itu diserahkan kepada pegawai perundangan negeri.

Madingikir turut menjelaskan sekiranya tiada sokongan daripada semua ADUN, cadangan berkenaan tidak akan direalisasikan.

"Seperti saya nyatakan tadi, jemaah kabinet meluluskan pada dasarnya cadangan ini, jadi sokongan semua wakil rakyat diperlukan dan sekiranya sokongan tiada ia tidak direalisasikan," katanya.