ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berharap kestabilan politik yang dimiliki Kedah dapat dikekalkan sehingga tamat tempoh penggal Julai 2023.
Beliau berkata, ia berikutan kestabilan politik menjadi ramuan kepada kemajuan dan kemakmuran negeri mahupun negara.
Menurutnya, dalam tempoh masa berbaki ini, semua pihak diharap memberi tumpuan dan membantu menyelesaikan permasalahan serta melaksanakan agenda rakyat yang belum selesai.
"Ada rakyat di sekeliling kita yang perlu diberi pembelaan. Ada yang masih bergelut dengan ketiadaan kemudahan infrastruktur, perparitan usang, jalan terputus hubungan, rumah terlalu uzur perlu dibaiki dan gangguan bekalan air yang masih berlaku di negeri ini,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Kedah di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.
Abd Nasir berkata, biarpun usia kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih muda, namun pencapaian dan prestasi yang diraih amat membanggakan.
"Kerajaan hari ini usianya hanya setahun 10 bulan, ibarat masih bayi. Namun kalau dinilai dari aspek kejayaan, apa yang dicapai boleh dibanggakan.
"Contohnya, hasil negeri meningkat RM688.04 juta pada 2021, melepasi unjuran yang dibuat sebelum ini. Inilah hasil komitmen dan kecekapan semua pihak daripada peringkat tertinggi seperti anggota Exco, ADUN serta pegawai tadbir hingga pengurusan,” katanya lagi.
Menurutnya, bergerak atas landasan kerajaan yang stabil juga membolehkan iklim pelaburan kondusif ditawarkan untuk menarik pelabur untuk membangunkan serta merancakkan kitaran ekonomi Kedah.
"Rancangan terbaik dan tersusun ini yang dilimpahi rakyat Kedah harus diseimbangkan, kita tak mahu ada rakyat di mana-mana daerah terpinggir,” katanya lagi.