'Hafdan budak baik, tidak pernah berkira dengan kawan'

Iklan
Gambar kanan: Faridah Latif

KUANTAN - Kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah rakan senior dalam kejadian di sebuah asrama rumah anak yatim dan miskin di sini pada Ahad merupakan anak yang baik, menghormati orang tua serta tidak pernah berkira dengan rakan-rakannya.

Faridah Latif, 49, berkata, dia terkilan atas kejadian yang menimpa Muhammad Hafdan Qurbani Azhar yang dianggap seperti anaknya sendiri.

Iklan
Iklan

Katanya, walaupun hubungannya dengan mangsa hanya sebagai ibu saudara angkat, namun mereka begitu rapat dan mesra sehingga arwah memanggilnya 'mama'.

"Arwah seorang anak yang baik, taat kepada ibu bapa dan menghormati orang yang lebih tua. Dia tidak pernah melawan cakap ibu bapa begitu juga dengan saya.

Iklan

"Kali terakhir saya menemuinya pada Januari lalu ketika pulang ke rumah ibu angkat (nenek mangsa) di Gedung Siam di sini.

"Selalunya sebelum ini, bila balik ke sana, kami akan bertemu namun kali ini dia sudah tiada. Mengenangkan keperibadiannya yang baik, kehilangannya cukup kami dirasai," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Gelugor, Paya Bungor di sini pada Selasa.

Iklan
Faridah berkata, kejadian yang menimpa Muhammad Hafdan Qurbani tidak sepatutnya berlaku hanya disebabkan wang RM4.

"Sedangkan arwah sendiri tidak pernah berkira dengan rakan-rakan malah jika ada yang berhutang dengannya, dia sentiasa menghalalkan," katanya.

Katanya, difahamkan arwah dihantar balik ke asrama itu beberapa hari lalu sempena pembukaan kembali sesi persekolahan.

"Dia tinggal di sana kira-kira setahun lalu dan sepanjang cuti sekolah dia berada di rumah.

Suami Faridah, Arisi Siyan, 42 menunjukkan pondok di atas pokok jering yang dibina mangsa berhampiran rumahnya beberapa hari sebelum kembali ke asrama.

"Beberapa hari sebelum kembali ke asrama, dia sempat membina pondok di atas pokok jering berhampiran rumahnya sebagai tempat bermain selain untuk memudahkan dia memetik buah jering itu.

"Pondok yang ditinggalkan itu kini menjadi sebagai satu kenangan selepas arwah pergi buat selama-lamanya dengan cara yang sukar untuk diterima," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Muhammad Ikmal Hasbullah Ariffin, 23, berkata, arwah Muhammad Hafdan seorang kanak-kanak yang ramah dan sering menyapanya setiap kali bertemu.

"Walaupun tidak begitu rapat, setiap kali bertemu terutama ketika saya melalui hadapan rumahnya, dia sering menegur dan paling tidak mengangkat tangan.

"Saya juga selalu ke bengkel bapanya berhampiran rumah mereka dan kami sering berbual dan bergurau," katanya.

Muhammad Ikmal Hasbullah

Muhammad Ikmal Hasbullah berkata, kejadian menimpa mangsa diketahui selepas Maghrib pada Ahad melalui kumpulan WhatsApp masjid.

"Memang terkejut lebih-lebih lagi kematiannya melibatkan unsur jenayah.

"Selepas mendapat tahu jenazah arwah akan dibawa untuk dikebumikan di tanah perkuburan kampung ini, saya bersama rakan-rakan pemuda kampung membantu menggali lubang kubur sebagai persediaan," katanya.

Menurutnya, jika diikutkan perasaan memang geram, namun segalanya diserahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang penghuni sebuah asrama rumah anak yatim dan miskin di sini meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah seorang rakan asrama pada Ahad.

Mangsa berusia 11 tahun dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek berusia 16 tahun sehingga tidak sedarkan diri ketika berada di bangunan surau asrama itu antara jam 3.45 hingga 4.15 petang hari berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.

Susulan kejadian, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenayah mangsa dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor di sini pada Selasa.