PM minta Vietnam segera selesai isu pencerobohan nelayan

Iklan
Ismail Sabri (kiri) bersalaman dengan Nguyen Xuan Phuc ketika kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam di Istana Presiden, pada Isnin. - Foto Bernama

HANOI - Malaysia meminta Vietnam untuk mengambil tindakan konkrit segera supaya insiden pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dapat diselesaikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu berkenaan semakin membimbangkan kerana sejak kebelakangan ini nelayan Vietnam bukan sahaja menceroboh, malah ada yang bertindak agresif dan provokatif terhadap penguat kuasa maritim dan nelayan Malaysia dalam perairan negara.

Iklan
Iklan

"Jika dibiarkan ia mungkin boleh mencetuskan isu yang lebih besar, ini berkait rapat dengan isu dan aktiviti perikanan IUU (Illegal, Unregulated and Unreported Fishing-perikanan yang melanggar undang-undang, tidak dikawal selia, tidak dilaporkan) dalam perairan Malaysia,” katanya kepada kumpulan media Malaysia di sini, pada Selasa selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari di Vietnam.

"Aktiviti sedemikian bukan sahaja menjejaskan aktiviti-aktiviti perikanan dan mata pencarian nelayan-nelayan Malaysia tetapi provokasi ini membimbangkan. Oleh itu saya telah meminta Perdana Menteri Vietnam untuk mengambil tindakan konkrit yang segera untuk menghentikan tindakan pencerobohan,” tambahnya.

Iklan

Kata Ismail Sabri, beliau berharap kerajaan Vietnam atas dasar persahabatan dengan Malaysia, mengambil tindakan segera supaya tindakan pencerobohan nelayan dapat diselesaikan.

Ismail Sabri berkata, isu itu bukanlah perkara baharu dan beliau sendiri pernah ke Vietnam sebelum ini bagi membincangkan perkara berkenaan semasa menjadi Menteri Pertanian.

Iklan

Berhubung lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, Perdana Menteri berkata, dalam lawatan itu beliau turut bertukar pandangan mengenai konflik Rusia-Ukraine, dan dalam isu ini kedua-dua negara mengambil sikap berkecuali.

Ismail Sabri berkata, bagaimanapun, Malaysia tegas menyatakan tidak akan berkompromi dari segi pencerobohan negara lain ke atas negara berdaulat yang lain.

"Kita tidak akan menyokong pencerobohan seperti ini, bagaimanapun pendirian kita tidak campur tangan. Kita mahu supaya isu yang berlaku di Ukraine dapat diselesaikan dengan cara diplomatik,” katanya.

"Mengenai sekatan yang dilakukan terhadap Rusia, kita menyatakan pendirian bahawa kita tidak menyokong sekatan yang dilakukan secara bersendirian, unilateral, kita hanya mengiktiraf sekatan jika ia diputuskan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu,” tambahnya.

Ismail Sabri berkata, Malaysia dan Vietnam juga telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar bersama yang memaklumkan tentang hasil perbincangan antara Malaysia dan Vietnam.

"Saya ucapkan selamat berjaya kepada Vietnam sebagai hos Sukan Sea yang akan diadakan pada bulan Mei ini,” katanya. - Bernama