GEORGE TOWN - Kerajaan Persekutuan berharap isu pembekalan air di Pulau Pinang, Kedah dan Perak dapat diselesaikan dengan baik berikutan kajian menunjukkan bahawa negeri-negeri di utara Semenanjung akan mengalami masalah kekurangan bekalan air menjelang tahun 2050.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ini adalah berdasarkan Kajian Sumber Air 2010-2050 (Perunding Zaaba 2008) yang telah merumuskan bahawa kawasan utara Semenanjung meliputi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang akan dilanda kekurangan bekalan air yang ketara pada tahun tersebut.
Jelasnya, sumber air merupakan satu keperluan bukan hanya kepada manusia, malah penting untuk sektor pertanian khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung yang mempunyai banyak kawasan pertanian.
"Sektor air dan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan saya berharap pihak yang terlibat dapat mencari jalan penyelesaian dalam isu terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Ke-24 Persatuan Kebangsaan Bagi Pengairan dan Saliran Malaysia (Manco) di sini pada Selasa.
Ahmad berkata demikian ketika ditanya berhubung risiko kepada sektor pertanian di Pulau Pinang selepas usaha kerajaan negeri itu mendapatkan bekalan air mentah dari Perak menerusi Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan Perak.
Selain itu, beliau berkata, bidang pertanian kini telah mengorak langkah dalam aspek peralihan sumber tenaga pekerja kepada penggunaan alat berteknologi penuh.
Katanya, mekanisasi kini bukan sahaja untuk menggantikan tenaga manusia sebaliknya untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian termasuk pengurusan infrastruktur yang cekap.
"Di samping itu, kita akan bergerak ke arah penyediaan pusat ujian dan pensijilan untuk memastikan penggunaan teknologi dalam pertanian seiring dengan peringkat antarabangsa.
"Menjelang tahun 2050, kita perlu memenuhi matlamat pembangunan mampan terhadap sistem pemakanan, iaitu memastikan penglibatan semua peringkat umur dalam sosioekonomi pertanian, meminimumkan kesan negatif alam sekitar, memulihara sumber semula jadi yang terhad, menyelamatkan biodiversiti dan mengukuhkan daya tahan terhadap masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Ahmad menjangkakan bekalan makanan negara khususnya menjelang Ramadan dan musim perayaan ini akan mencukupi dan stabil.
Jelasnya, kerajaan sentiasa melakukan unjuran terhadap bekalan makanan, sebagai contoh bekalan ayam segar yang perlu ditambah di pasaran pada bulan berikutnya, sekiranya terdapat laporan berlaku kekurangan. - Bernama